Categories
SUKANKINI

India musnah hasrat Malaysia kekal kemenangan 100 peratus

IPOH, 26 MAC: Impian Malaysia untuk mengekalkan kemenangan 100 peratus dan terus menghuni tangga teratas carta Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-28 lebur apabila tewas 2-4 kepada India, malam ini.

Beraksi di hadapan lebih 3,000 penyokong sendiri di Stadium Azlan Shah di sini, Malaysia terlebih dahulu menguji gawang gol lawan pada minit kesembilan namun percubaan Razie Rahim melalui pukulan sudut penalti digagalkan penjaga gol India, Krishnan Pathak

Walaupun melancarkan serangan bertali arus ke kubu gol India, skuad Speedy Tigers terlebih dahulu dikejutkan pada minit ke-17, melalui gol padang yang dijaringkan oleh Sumit.

Jaringan berkenaan bagaimanapun tidak kekal lama apabila Razie menyamakan kedudukan buat Malaysia melalui rembatan kencang hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-21.

India yang menduduki ranking kelima dunia sekali lagi mendahului skuad negara pada minit ke-27, kali ini giliran Sumit Kumar pula mencatat nama selaku penjaring kedua menerusi gol padang.

Jaringan itu nyata membangkitkan semangat pasukan India dan hasilnya pada minit ke-36, Varun Kumar menjaringkan gol ketiga untuk pasukannya melalui pukulan sudut penalti.

Usaha Malaysia untuk merapatkan kedudukan berhasil pada minit ke-57, apabila Tengku Ahmad Tajuddin berjaya menguis masuk hasil situasi kelam-kabut di depan gawang gol India.

Gol berkenaan tidak menggugat semangat juang India apabila Mandeep Singh menyumbang gol keempat pasukan dan kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Pada sidang media selepas perlawanan, jurulatih Malaysia, Roelant Oltmans berkata kekalahan malam ini berpunca daripada kegagalan pemain menyempurnakan beberapa peluang termasuk pukulan sudut penalti.

“Kita dapat sembilan pukulan sudut penalti tetapi hanya satu yang berjaya disempurnakan. Mungkin kalau 50 peratus berjaya disudahkan (pukulan sudut penalti), keputusan akan berubah,” katanya.

Bagaimanapun beliau memuji semangat kental yang dipamerkan anak buahnya dalam menyaingi kepantasan permainan pasukan India.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Piala Sultan Azlan Shah: Kalahkan England, Australia muncul juara

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 11 MAC: Australia mengatasi England 2 – 1 sekali gus menjuarai Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke 27 di sini, semalam.

Biarpun menerima cabaran sengit England pada perlawanan akhir itu namun juara dunia itu berjaya mengekalkan persembahan cemerlang untuk muncul juara buat kali ke 10.

Pasukan Aussies memperoleh gol pada suku ketiga hasil jaringan Blake Givers pada minit ke 38.

Lachlan Sharpe terus memberi kelebihan untuk pasukannya pada minit ke 53 dengan gol kedua mengatasi penjaga gol,
George Pinner.

England yang ketinggalan berusaha bangkit bagi mencari gol dan usaha berterusan membuahkan hasil melalui Sam Ward (m54).

Gol diperoleh bagaimanapun tidak cukup menafikan kejayaan Australia untuk menjuarai kejohanan kali ini.

Selain muncul juara, Australia turut meraih anugerah Fair Play kejohanan, Pemain Terbaik perlawanan (Mark Knowles) dan Pemain Terbaik kejohanan (Daniel Beale).

Manakala penjaring terbanyak dimenangi Gonzalo Peiliat (Argentina) dengan lapan gol dan England berpuas hati dengan gelaran Penjaga Gol Terbaik (George Pinner).

Perlawanan akhir itu disaksikan Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Categories
SUKANKINI

Piala Sultan Azlan Shah: England tundukkan Malaysia 7-2

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 10 MAC: Malaysia gagal memberikan cabaran kepada England apabila dibelasah 2 – 7 pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di sini, semalam.

Ia detik menghampakan bagi skuad bimbingan Stephen Van Huizen yang mengharapkan kejayaan seperti mana aksi cemerlang ketika mengejutkan juara Olimpik, Argentina dalam perlawanan sebelumnya.

England memulakan rentak kemenangan apabila mendapat gol pertama hasil jaringan Mark Gleghorne pada minit ke 10 dan Ollie Willars seminit kemudian.

Barry Middleton menjadikan kedudukan 3 – 0 pada minit akhir suku pertama.

Skuad negara terus dihukum pasukan kendalian Bobby Crutchley dengan gol keempat melalui Middleton (m31).

Sam Ward mengambil giliran pada suku ketiga dengan dua gol pada minit ke 38 dan 41 serta Gleghorne (m48) untuk kedudukan 7 – 0.

Malaysia mendapat dua gol pada lewat perlawanan melalui Tengku Ahmad Tajuddin hasil sepakan penalti dan Marhan Jalil dua minit kemudian.

Keputusan itu meletakkan England ke final bertemu Australia manakala Malaysia akan berdepan Argentina bagi penentuan tempat ketiga dan keempat, hari ini.

Kredit Foto: BHarian

Categories
SUKANKINI

Piala Sultan Azlan Shah: Australia benam Argentina, kekal tanpa kalah

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 10 MAC: Australia menerus rentak kejaguhan dengan mengalahkan Argentina 3 – 1 dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di sini, semalam.

Juara dunia itu yang sudah mengesahkan tempat ke final, mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan dengan mengutip 15 mata penuh pada kejohanan kali ini.

Argentina selaku juara Olimpik bagaimanapun tidak memberi laluan mudah kepada Australia apabila mendahului dengan gol Gonzallo Peillat pada minit ke 21 menerusi pukulan sudut penalti.

Skuad Aussies memulakan kebangkitan dengan jaringan Aaron Kleinschmidt lima minit kemudian bagi menyamakan kedudukan.

Australia terus menghampakan Argentina pada penghujung perlawanan dengan memperoleh dua gol melalui Trent Mitton (m55) diikuti Kleinschmidt seminit selepas itu.

Keputusan itu mengetepikan harapan Argentina ke final apabila sekadar mengutip tujuh mata.

Dalam satu lagi perlawanan, Ireland meraih kemenangan pertama dengan mengalahkan India 3 – 2.

Gol pasukan itu dijaringkan Shane O’Donoghue, Sean Murray dan Lee Coly manakala India melalui Ramandeep Singh dan Amit Rohidas.

Kredit Foto: Harian Metro