OLEH HAFIZAN TAIB
IPOH, 7 MAC: Australia mengekalkan rekod kemenangan apabila mengatasi India 4 – 2 dalam kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-27 di sini, semalam.
Juara dunia itu merakam kemenangan ketiga berturut-turut dengan sebelumnya mengalahkan England (4 – 1) dan Malaysia (3 – 1) bagi mengukuhkan kedudukan dengan sembilan mata.
Gol pertama pasukan itu dihasilkan Mark Knowles pada minit ke-28 melalui pukulan penalti melepasi Krishan Pathak.
Pasukan Aussies terus mempamerkan kehebatan di Stadium Azlan Shah dengan serangan pantas ke kubu lawan dan mendapat gol kedua melalui Aran Zalewski (m35).
Pasukan bimbingan Colin Batch terus bergaya mendahului 4 – 0 pada suku ketiga dengan dua lagi menambah jaringan oleh Daniel Beale (41) dan Blake Govers (43).
India menghadirkan cabaran pada suku keempat dengan dua gol Ramandeep Singh (m52 dan 53) tetapi Australia berjaya mengekalkan kelebihan hingga akhir perlawanan.
Dalam satu lagi perlawanan, England mencatat kemenangan pertama selepas menundukkan Ireland 4 – 1.
Pasukan Inggeris itu kini di tangga keempat dengan empat mata mengatasi India (satu) dan Ireland (kosong).
=EZY=