OLEH HAFIZAN TAIB
IPOH, 11 MAC: Australia mengatasi England 2 – 1 sekali gus menjuarai Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke 27 di sini, semalam.
Biarpun menerima cabaran sengit England pada perlawanan akhir itu namun juara dunia itu berjaya mengekalkan persembahan cemerlang untuk muncul juara buat kali ke 10.
Pasukan Aussies memperoleh gol pada suku ketiga hasil jaringan Blake Givers pada minit ke 38.
Lachlan Sharpe terus memberi kelebihan untuk pasukannya pada minit ke 53 dengan gol kedua mengatasi penjaga gol,
George Pinner.
England yang ketinggalan berusaha bangkit bagi mencari gol dan usaha berterusan membuahkan hasil melalui Sam Ward (m54).
Gol diperoleh bagaimanapun tidak cukup menafikan kejayaan Australia untuk menjuarai kejohanan kali ini.
Selain muncul juara, Australia turut meraih anugerah Fair Play kejohanan, Pemain Terbaik perlawanan (Mark Knowles) dan Pemain Terbaik kejohanan (Daniel Beale).
Manakala penjaring terbanyak dimenangi Gonzalo Peiliat (Argentina) dengan lapan gol dan England berpuas hati dengan gelaran Penjaga Gol Terbaik (George Pinner).
Perlawanan akhir itu disaksikan Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.