OLEH NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 12 MAC: Perdana Menteri, Datuk Seri NajibRazak diselar kerana membandingkan statistik kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan negara lain tetapi tidak meneliti kadar kemiskinan yang menyebabkan kesan peningkatan kos sara hidup kepada rakyat.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata kenyataan pemimpin nombor satu negara itu tidak bertanggungjawab dan tidak mahu berusaha memikirkan cara supaya rakyat tidak terbeban dengan cukai itu.
“Kita juga tidak seharusnya membandingkan kadar GST di negara lain tetapi lihatlah kesan GST kepada rakyat negara ini terutama yang berpendapat rendah dan sederhana.
“Jangan hanya pandai membandingkan statistik kadar GST antara negara tetapi teliti statistik kadar kemiskinan, statistik kadar keluarga bermasalah dan statistik lain yang menunjukkan kesan peningkatan kos sara hidup kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Najib berkata, negara akan mengalami defisit jika GST dihapuskan dan negara akan kehilangan pendapatan RM45 bilion, setahun.
Beliau juga berkata, hutang negara semakin parah dan tanpa pendapatan hutang itu akan semakin meningkat, maka Malaysia akan menjadi seperti Greece.
Iskandar berkata, Malaysia adalah satu negara dengan pelbagai sumber asli dan jika ekonomi negara diuruskan dengan baik, maka tidak perlu mewujudkan cukai tambahan itu untuk membiayai program bantuan kepada rakyat.
Namun, katanya, disebabkan kegagalan pemimpin negara, maka rakyat perlu dibebankan dengan cukai terbabit
“Ini sudah tentu tidak adil kerana mereka yang bersalah terlepas daripada sebarang hukuman tetapi rakyat pula yang menjadi mangsa.
Alasan negara akan menanggung defisit juga tidak boleh terima.
“Pekerja yang tidak membayar cukai kerana keadaan kewangan mereka yang tidak mengizinkan. Adalah zalim untuk mengenakan cukai ke atas mereka melalui barangan dan perkhidmatan yang digunakan.
“Bagaimanapun, keadaan sedemikian berlaku akibat kesilapan pemimpin, maka kyat tidak seharusnya didera akibat kesilapan ini.
Perdana Menteri juga berkata, hanya dua juta daripada 13 juta pekerja di Malaysia yang membayar cukai dan perkara ini perlu diperbetulkan,” katanya.
Pada masa sama, katanya, negara jiran Singapura tidak mempunyai sebarang sumber asli tetapi mereka dapat mencapai tahap pembangunan jauh lebih ke hadapan dari Malaysia dan pendapatan rakyat mereka juga berkali ganda, dari negara ini.