Categories
SELANGOR

RM51 juta bina jalan sambungan Kota Warisan (B20) daerah Sepang

OLEH SABIRAH AZIZ

SEPANG, 12 MAC: Sejumlah RM51 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi membina jalan sambungan B20 menghubungkan Kota Warisan dengan Salak Tinggi, di sini, yang dipisahkan oleh landasan Express Rail Link (ERL).

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, ia bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan persekutuan FT29 dan FT32 serta sebagai laluan alternatif kepada pengguna dari jalan FT29 yang ingin ke Salak Tinggi.

“Pembinaan jalan akan dibina adalah 4.5 kilometer iaitu empat lorong dan dua hala. Projek ini sudah bermula sejak November 2017 dan dijangka siap, pada November 2020.

“Skop kerja utama merangkumi kerja struktur seperti cerucuk, tiang jambatan merentasi ERL, menaik taraf jalan sedia ada dn kerja memecahkan batu dan sistem perparitan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek berkenaan, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya Selangor, Ir Rozita Mat Senapi dan Pegawai Daerah Sepang, Mohd Yazid Sairi.

Zaidy berkata, apabila jalan alternatif berkenaan siap sepenuhnya, maka pengguna akan mempunyai pilihan untuk ke Salak Tinggi, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Selain itu, jajaran baharu ini dapat memudahkan jaringan perhubungan penduduk setempat, sekali gus meningkatkan lagi industri dan komersial, di kawasan sekitar Kota Warisan.

“Diharapkan, semua pihak dapat memberikan kerjasama dengan memainkan peranan penting ketika proses pembinaan jalan ini,” katanya.