Categories
SASTERA

Saya Bukan Nak Bercerita Tentang Minyak

Oleh Khairil Idham Ismail

SAYA bukan nak bercerita tentang minyak. Dahulu, saya pernah mengirimkan sebuah cerpen kepada editor sebuah majalah. Lama saya menunggu tetapi tidak mendengar sebarang khabar berita sehinggalah saya meyakini dengan perasaan yang was-was bahawa cerpen itu tidak mendapat hati editor. Seperti tidak berjayanya seorang pria menyunting bunga di taman hati seorang gadis.

Begitulah saya menyakini bukan jodoh saya dan editor tersebut untuk bertautnya kami melalui cerpen yang dikirmkan lewat e-mel. Saya reda. Sementelahan cerpen itu adalah cerpen terawal yang saya tulis, saya maklum tentu sahaja banyak kelemahan atau barangkali dinilai klise dan tiada nilai penerbitan.

Saya bukan nak bercerita tentang minyak. Namun pada suatu hari, saat langit menjadi jingga dan bulan berdiri tanpa kaki berubah warna biru, kantung mel elektronik saya dimasuki epistel daripada seseorang. Ya, itulah suatu hari yang sangat tidak diduga antara hari-hari kehidupan yang biasa, pergi-kerja, balik-kerja dan perihal lain yang tidak perlu dituliskan di sini, saya dihubungi oleh editor majalah berkenaan. Antara teruja dan cemas. Saya mengusung kursor tetikus kepada pautan e-mel dan membuka epistel tersebut. Katanya, dia meminta saya agar membuang frasa yang bertulis ‘dua puluh sen’ dan mengolah semula rangkap di bahagian yang dibuang tadi daripada cerpen yang saya kirimkan kepadanya.

Sungguh, saya bukan nak bercerita tentang minyak. Namun, kesediaan editor menghubungi saya dan tidak membuang cerpen begitu sahaja amatlah saya hargai apatah lagi itulah cubaan pertama dan terawal menulis cerpen ke ruangan majalah tersebut. Saya tidak bertanya lanjut mengapa editor meminta saya unutuk membuang terus perkataan ‘dua puluh sen’ itu tetapi saya sendiri maklum dan jelas ketika itu bahawa isu dua puluh sen adalah amat sensitif untuk dibicarakan di mana-mana. Zahir ataupun batin, ia seperti melakukan dosa yang amat besar walaupun dalam wacana ataupun diskusi ilmiah. Tabu. Sebagaimana ia dilihat sebagai najis jenis mughallazah begitulah ungkapan dua puluh sen itu tidak boleh dilihat, dibaca apatah lagi diperkatakan di mana-mana.

Saya bukan nak bercerita tentang minyak. Entah berapa kali telah saya tegaskan bahawa saya bukan nak bercerita tentang minyak. Sungguh, gerak hati yang kecil tetapi sangat signifikan daripada editor ini membuatkan saya sangat hormat kepadanya. Saya amat tersentuh. Hati saya pula jika diibaratkan seorang gadis; kini telah disunting bunganya dengan perilaku editor. Barangkali, dia boleh sahaja tidak menghiraukan saya. Apatah lagi, saya bukanlah siapa-siapa melainkan penulis yang baru ingin mula menulis. Dia boleh sahaja juga tidak menerbitkan cerpen saya atau tidak menghubungi saya semula tetapi sikapnya itu buat saya benar-benar terharu dan bersetuju untuk membuang perkataan ‘dua puluh sen’ itu. Tambahan lagi, dia tidak mengubah langsung jalan cerita cerpen tersebut atau menukar kata ganti diri saya kepada aku, aku kepada saya sesuka hatinya dan mengubah keseluruhan penyampaian cerita yang ingin saya sampaikan.

Bermula jam 0001 tengah malam nanti, minyak Research Octane Number (RON) akan naik sebanyak dua puluh sen (lagi). Sungguh, ketika saya menuliskan perihal ini, saya bukan nak bercerita tentang minyak. Bahkan telah berkali-kali saya tegaskan bukan tentang minyak yang ingin saya ceritakan. Sedangkan sudah terlalu ramai yang bercerita tentangnya. Ramai yang membentangkan aspek kalkulatif, harga satu tong minyak, pasaran harga minyak dunia, saham yang pelbagai malahan termasuklah bagaimana struktur minyak kenderaan digunapakaikan secara biokimia dan kejuruteraan serta perbandingan harga minyak dengan pelbagai negara di dunia secara relatif dan tidak-relatif. Apatah lagi, jika diceritakan perihal minyak ini, ia akan menjadi terlalu sensitif buat ramai orang yang barangkali jika diceritakan di sini juga, mesti ramai juga yang mahu saya membuangnya dan mendatangkan pelbagai teori tentang kewajaran harga minyak yang ditetapkan.

Kesekian kalinya, saya menegaskan bahawa saya bukan nak bercerita tentang minyak. Apa yang sebenarnya nak saya ceritakan ialah keluhuran peribadi seorang editor yang kerananya jugalah cerpen tersebut telah memenangi anugerah sastera suatu ketika dahulu. Tidak pernah terduga oleh saya, betapa cerpen terawal dan sederhana saya itu turut telah memenangi hati juri penganugerahan.  Jika tidak cerpen itu diterbitkan, masakan ia dapat terdahulu diadili oleh juri dan akhirnya dinobatkan sebagai pemenang. Maka, saya bertambah hormat kepada dirinya apabila berjaya mengutip permata antara kaca atau barangkali membuang kaca untuk mengutip permata.

Bercakap tentang minyak walaupun bukan minyak yang saya ingin ceritakan, kata orang dahulu, bagai pelita kehabisan minyak begitulah saya dahulu hampir berputus-asa apabila menyangkakan bahawa cerpen saya telah pun dibakar bersama longgokan sampah semua kiriman cerpen kepada editor tersebut. Masakan tidak, apabila lama tidak saya mendengar sebarang khabar berita. Bahkan pada saat itu, saya sudah berfikir-fikir untuk mengirimkan surat penarikan balik kiriman karya sehinggalah sebaliknya saya dihubungi. Sebaliknya, gerak hati editor yang menghubungi saya, berbincang dan mengutarakan saranan dalam editorial yang diselenggarakannya telah menjadi minyak pula yang membakar semangat saya untuk terus menuliskan cerita walaupun hanya untuk bacaan saya sendiri sahaja.

Ya. Setiap penulisan itu ada khalayak pembacanya. Bila serta bagaimana ia menemui pembacanya bukanlah urusan kita.

Sungguh, dengan kesungguhan yang sungguh-sungguh, saya bukan nak bercerita tentang minyak tetapi ingin mengucapkan terima kasih kepada editor tersebut yang telah menghubungi saya, meminta saya membuang perkataan yang boleh menjadi minyak kepada marak api berbeza (mengikut kecenderungan masing-masing) dan akhirnya menyiarkan cerpen kecil saya sementelahan saya hanyalah orang yang baru belajar bagaimana menyusun ayat menjadi cerita. Cerita adalah wahana kepada wacana. Wacana adalah pemikiran yang membentuk masyarakat ke arah yang sentiasa berfikir melalui setiap cerita kecil yang luhur dan bijaksana.

Sungguh, tuan. Saya bukan nak bercerita tentang minyak! <END>