Categories
GLOBAL

Tarif keluli: Kesatuan Eropah sedia bertindak balas ke atas Amerika

BRUSSELS 8 MAC: Kesatuan Eropah (EU) sudah bersedia untuk bertindak balas kepada tarif ke atas import keluli dan aluminium yang akan dikenakan Amerika Syarikat (AS), tetapi masih berharap ia dapat dielakkan, kata ketua perdagangan kesatuan itu.

“Perang perdagangan tiada pemenangnya dan adalah lebih baik sekiranya ia tidak berlaku, yang mana kita boleh bekerja dengan rakan Amerika dan sekutu lain dalam isu teras masalah ini, iaitu lebihan pengeluaran,” kata Pesuruhjaya Eropah bagi Perdagangan, Cecilia Malmstrom.

“Tetapi sekiranya ia berlaku, kita harus mengambil langkah untuk melindungi pekerjaan di Eropah,” katanya lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Donald Trump terus berdegil dan kelihatannya beliau bersedia untuk meluluskan tarif itu minggu ini dalam usaha beliau untuk menekan China supaya berbuat sesuatu bagi mengimbangi perdagangan yang tidak seimbang antara AS dan China.

Sehari selepas peletakan jawatan penasihat ekonomi Gary Cohn, bersama beberapa tokoh politik lain, Rumah Putih berkata Trump di landasan untuk merealisasikan cadangan itu hujung minggu ini.

Ada yang meramalkan Trump akan membuat pengisytiharan presiden seawal Khamis.

Kumpulan pelobi perniagaan utama AS mengeluarkan kenyataan keras memberi amaran tarif itu akan menjejaskan pekerjaan dan sektor pembuatan AS.

SUMBER: REUTERS