OLEH AFIX REDZUAN
ISTANBUL, 15 MAC: Bayern Munich tidak berdepan masalah menempah tempat ke peringkat suku akhir apabila menang 1-3 ke atas kelab dari Turki, Besiktas pada perlawanan kedua peringkat 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.
Kemenangan itu menyaksikan mereka mara dengan agreget 8-1 selepas mencatatkan kemenangan bergaya 5-0 pada perlawanan pertama di Allianz Arena tiga minggu lalu.
Thiago Alcantara membuka tirai jaringan perlawanan pada minit ke-18 selepas berjaya menampan hantaran Thomas Muller bagi memastikan Bayern selesa mendahului 0-1 sehingga penghujung babak pertama.
Selepas 37 saat babak kedua bersambung, Bayern terus selesa mendahului dengan gol kedua hasil jaringan sendiri pemain Besiktas, Gokhan Gonul yang tertampan hantaran lintang Rafinha.
Kealpaan pertahanan Bayern dihukum Besiktas menerusi gol pertama pasukan tuan rumah menerusi Vagner Love yang berjaya mengawal lorongan Gokhan sebelum mudah menolak bola ke gawang lawan bagi kedudukan 1-2 pada minit ke-59.
Besiktas menggandakan serangan bagi mencari gol penyamaan tetapi Bayern sebaliknya memanfaatkan peluang menambah jaringan kepada 1-3 pada minit ke-84 menerusi Wagner yang menyambut hantaran David Alaba bagi gol pertama beliau dalam aksi Liga Juara-Juara.
Kredit Foto: UEFA Champions League