Categories
GLOBAL

Usia 3 tahun ditetapkan wajib bersekolah di Perancis

GLOBAL 29 MAC: Kerajaan Perancis di bawah pembaharuan diumumkan Presiden Emmanuel Macron menetapkan kanak-kanak di negara itu bakal memulakan sesi persekolahan mereka pada usia tiga tahun berbanding enam tahun ketika ini.

Agensi Berita BBC NEWS melaporkan, perubahan itu dilihat membolehkan Perancis menjadi satu daripada negara yang mewajibkan persekolahan pada peringkat umur paling muda di Eropah.

Pembaharuan itu, bagaimanapun hanya melibatkan sejumlah kecil kanak-kanak ketika majoriti keluarga di Perancis telahpun menghantar anak-anak mereka ke sekolah ketika berusia tiga tahun lagi.

Berdasarkan data diperoleh kerajaan, hanya 2.4 peratus kanak-kanak tidak mendaftar persekolahan mereka pada usia itu.

Macron berkata, perubahan itu bertujuan mengurangkan ketidakseimbangan dalam pendidikan ketika ibu bapa di kawasan miskin Perancis dan wilayah luar negara tidak cenderung menghantar anak-anak mereka ke sekolah pada usia lebih awal.

Di Paris, sebanyak 93 peratus kanak-kanak berusia tiga tahun didaftar bersekolah tetapi angkanya adalah jauh lebih rendah di beberapa buah wilayah lain di Perancis.

“Saya harap dengan kewajipan ini, bermula pada sesi persekolahan 2019, kita boleh memperbetulkan perbezaan ini,” katanya.

Macron pada masa sama memuji perubahan itu sebagai titik permulaan dalam sistem pendidikan Perancis.

SUMBER: BBC NEWS