SINGAPURA 17 APR: Dua rakyat tempatan dijangkiti bakteria listeria jenis sama dengan pesakit dikaitkan wabak maut di Australia tahun ini, kata Kementerian Kesihatan republik itu semalam.
Menurut laporan akhbar The Straits Times, kementerian dalam satu kenyataan berkata, Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan sudah selesai menjalankan analisis urutan genetik ke atas jenis bakteria diambil daripada lima pesakit yang dijangkiti listeriosis tahun ini.
Seorang daripada pesakit sudah pulih sementara seorang lagi maut ‘namun bukan berpunca akibat jangkitan listeria.’
Tembikai wangi atau rock melon tercemar dengan bakteria listeriosis dieksport ke sekurang-kurangnya sembilan negara dari Australia termasuk Singapura dan Malaysia. Pengeluar tembikai Australia sudah menarik balik produk itu 27 Februari lalu.
Di republik ini, produk yang terjejas sudah dipanggil balik dan dimusnahkan Pihak Berkuasa Pertanian Makanan dan Veterinar pada Mac lalu.
Dalam satu kenyataan, kementerian berkata, siasatan awam epidemiologi dijalankan susulan makluman kes listeriosis di republik ini tidak menunjukkan kaitan antaranya dengan wabak di Australia.
Bagaimanapun siasatan lanjut makmal dijalankan dan kementerian mendapati, antara lima pesakit, dua daripadanya dijangkiti listeria jenis ST240 yang sama dengan urutan gen ditemui pada pesakit wabak listeriosis Australia.
“Tiada lagi risiko kesihatan awam lanjut daripada wabak di Australia oleh kerana ia sudah dikurangkan menerusi pemanggilan semula produk terjejas pada Mac 2018,” katanya menambah ia akan terus memantau rapat situasi itu.
SUMBER: AGENSI