LONDON 17 APR: Britain dan Amerika Syarikat (AS) memberi amaran semalam, penggodam ditaja kerajaan Russia menggodam perkakasan utama pihak berkuasa dan rangkaian komputer perniagaan seperti router dan firewall, memberi mereka kawalan aliran data maya.
Dalam satu kenyataan bersama, Washington dan London berkata, operasi itu dilakukan bagi menyokong pengintipan, mengekstrak harta intelek, mengekalkan akses tetap terhadap rangkaian mangsa dan berpotensi memberi asas untuk operasi serangan akan datang.
“Penggodam ditaja Russia menggunakan router dikompromi bagi menjalankan serangan sekali gus menyokong pengintipan, mengekstrak harta intelek, mengekalkan akses tetap terhadap rangkaian mangsa dan berpotensi memberi tapak kepada operasi serangan akan datang.
“Sesiapa sahaja yang mengawal infrastruktur laluan sesebuah rangkaian, pada akhirnya mengawal aliran data yang melalui rangkaian itu,” katanya.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS (DHS) berkata, godaman itu adalah sebahagian operasi meluas digelar Grizzly Steppe, yang dikatakan jabatan itu menumpukan serangan siber oleh agensi awam dan perisikan tentera Moscow.
Operasi menggodam router menyasar kedua-dua sektor kerajaan dan swasta serta penyedia utama infrastruktur rangkaian dan perkhidmatan internet disediakan mereka.
Pengumuman itu dibuat dalam satu amaran bersama tidak dijangka, menekankan kerjasama lebih rapat antara kerajaan Barat berjuang menentang apa yang mereka katakan kempen berterusan, godaman pelbagai peringkat dan salah maklumat dalam talian oleh Moscow.
Amaran itu dikeluarkan Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan Britain, DHS dan Biro Siasatan Persekutuan AS.
SUMBER: AFP