OLEH NADIAH ZAMLUS
PETALING JAYA, 6 APR: Kira-kira 33,780 tan metrik sampah sudah diangkut dari Sungai Klang sehingga bulan lalu.
Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Syaiful Azmen Nordin berkata, kerja pembersihan, pemuliharaan dan pembangunan Sungai Klang kini giat dilakukan bagi mencantikkan imej sungai tersebut.
Katanya, ia sejajar dengan visi Dato’ Menteri Besar yang mahu menjadikan Selangor sebagai sebuah Smart State menjelang 2025.
“MBI turut berterima kasih kepada penduduk Selangor khususnya yang memberi sokongan dalam menjadikan Sungai Klang destinasi tarikan pelancong.
“Tetapi usaha murni dilakukan Kerajaan Negeri perlu mendapat kerjasama serta sokongan berterusan dari semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penerangan Projek Pembersihan, Pemuliharaan dan Pembangunan Sungai Klang bersama pengunjung Paradigm Mall, petang tadi.
Projek 15 tahun bermula Februari 2016 itu sedang melalui fasa ketiga.
“Pemandangan Sungai Klang tidak lagi macam dahulu dan kini bertambah baik berbanding sebelum kerja-kerja pembersihan dilakukan.
“Masalah bau busuk tidak lagi menimbulkan kegusaran kepada pengunjung untuk beriadah di situ,” katanya.