Categories
AGENSI SELANGOR

Buat komik kesedaran pelihara sungai, RM4,500 menanti pemenang

SHAH ALAM, 14 APRIL: Landasan Lumayan Sdn Bhd menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM4,500 menerusi pertandingan melukis komik kesedaran penjagaan sungai, kata pengarah urusannya.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd Syaiful Azmen Nordin

Syaiful Azmen Nordin berkata pertandingan diadakan anak syarikat di bawah Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) itu bertujuan mengisi masa lapang rakyat Malaysia yang berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Pertandingan  ini juga membolehkan orang ramai menggunakan masa lapang untuk berfikir sejenak mengenai keadaan sungai kita sekali gus menunjukkan cara lebih bertanggungjawab ke atas penjagaan sungai untuk masa depan lebih baik,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata terdapat tiga tema komik yang boleh dipilih iaitu Hentikan Pencemaran Sungai, Jadilah Penjaga Sungai atau Sungai Bersih, Masa Depan Kita dan peserta boleh memuatnaik hasil komik menerusi akaun Instagram masing-masing dengan tanda pagar #SMGWaterYouDoing sebelum jam 6 petang pada 22 April.

“Penyertaan boleh dibuat secara lukisan tangan atau digital dalam satu hingga lima kotak panel, sama ada berwarna atau hitam putih.

“Pemenang yang menerima ‘tanda suka’ terbanyak di Instagram akan menerima hadiah wang tunai RM2,000 untuk tempat pertama, RM1,000 (kedua), RM500 (ketiga) dan 10 hadiah saguhati (RM100 seorang),” katanya.

Untuk maklumat lanjut, boleh melayari https://www.selangormaritimegateway.com/announcements/ dan https://www.instagram.com/p/B-bJYnkHPeV/.

Categories
AGENSI SELANGOR

1,000 kg sampah dikutip dalam tempoh 3 jam

KLANG, 28 JUL: Sekurang-kurangnya 1,000 kilogram sampah berjaya dikutip dalam tempoh tiga jam ketika program ‘River Guardian For a Better Tomorrow’ di Taman Awam Pengkalan Batu, di sini.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd, Syaiful Azmen Nordin berkata, program julung kali dianjurkan dengan pembabitan komuniti itu diadakan melalui Projek Selangor Maritime Gateway (MSG).

“Saya berasa begitu aman melihat persekitaran di Taman Awam Pengkalan Batu ini yang sesuai untuk aktiviti beriadah, jadi adalah penting untuk kita menjaga persekitaran ini agar kekal ceria dan bersih.

“Saya berharap penganjuran program jalinan masyarakat ini dapat memupuk semangat kerjasama dan cintakan sungai dalam kalangan penduduk juga pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Gotong Royong Taman Awam Pengkalan Batu ‘River Guardian For a Better Tomorrow’, di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin.

Syaiful berkata, sehingga kini sebanyak 50,000 tan metrik sampah telah berjaya dikeluarkan dari Sungai Klang dalam operasi pembersihan bermula sejak 2016.

“Secara tidak langsung, visi untuk menghidupkan kembali Sungai Klang mula menampakkan hasil yang positif.

“Malah taraf kualiti air yang sebelum ini berada di kelas lima telah meningkat ke kelas tiga iaitu daripada status kotor kini semakin pulih,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Unit Rondaan Bermotosikal di Sungai pantau aktiviti haram

KLANG, 28 JUL: Unit Rondaan Bermotosikal di Sungai akan ditubuhkan melalui Selangor Martime Gateway (SMG) untuk memantau dan mengesan aktiviti haram yang boleh membahayakan kualiti air di negeri ini.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin berkata, unit rondaan itu akan mula beroperasi sepenuhnya dalam tempoh enam bulan akan datang.

Katanya, sebelum itu pihaknya terlebih dahulu akan membuat penyediaan laluan yang sesuai di sepanjang tebing sungai di Selangor.

“Ia adalah komponen baharu dalam siri program pembabitan komuniti di bawah SMG dan akan menjadi pelengkap kepada usaha sedia ada bagi memantau dan mengawasi sungai dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Kepada penunggang motosikal yang berminat, kami mengalu-alukan pembabitan anda, jadi sila hubungi kami.

“Sasaran meningkatkan kualiti air tidak mampu direalisasikan tanpa penyertaan orang awam. Kita harus sedar, kebersihan adalah cerminan tahap peradaban sesebuah masyarakat dan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Gotong Royong Taman Awam Pengkalan Batu ‘River Guardian For a Better Tomorrow’ di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin.

Pada program itu, sebanyak 1,000 kilogram sampah berjaya dikutip dalam tempoh tiga jam.

Program anjuran LLSB melalui projek SMG itu turut mendapat kerjasama MPK serta sukarelawan dari badan bukan kerajaan, universiti dan komuniti setempat.

“Saya berharap usaha kami ini akan dilihat positif kerana mahu menyemarakkan semangat bantu-membantu dalam komuniti dan sedikit sebanyak akan mewujudkan rasa kekitaan yang tulen.

“Kita harus mengambil iktibar daripada negara maju seperti Jepun di mana masyarakatnya memiliki disiplin serta mempunyai budaya cintakan kebersihan yang tinggi.

“LLSB sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkaitan dalam menjayakan program kali ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

33,780 tan metrik sampah Sungai Klang sudah diangkut

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 6 APR: Kira-kira 33,780 tan metrik sampah sudah diangkut dari Sungai Klang sehingga bulan lalu.

Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Syaiful Azmen Nordin berkata, kerja pembersihan, pemuliharaan dan pembangunan Sungai Klang kini giat dilakukan bagi mencantikkan imej sungai tersebut.

Katanya, ia sejajar dengan visi Dato’ Menteri Besar yang mahu menjadikan Selangor sebagai sebuah Smart State menjelang 2025.

“MBI turut berterima kasih kepada penduduk Selangor khususnya yang memberi sokongan dalam menjadikan Sungai Klang destinasi tarikan pelancong.

“Tetapi usaha murni dilakukan Kerajaan Negeri perlu mendapat kerjasama serta sokongan berterusan dari semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penerangan Projek Pembersihan, Pemuliharaan dan Pembangunan Sungai Klang bersama pengunjung Paradigm Mall, petang tadi.

Projek 15 tahun bermula Februari 2016 itu sedang melalui fasa ketiga.

“Pemandangan Sungai Klang tidak lagi macam dahulu dan kini bertambah baik berbanding sebelum kerja-kerja pembersihan dilakukan.

“Masalah bau busuk tidak lagi menimbulkan kegusaran kepada pengunjung untuk beriadah di situ,” katanya.