Baru-baru ini Dato’ Seri Idris Jusoh telah sekali lagi berjaya menangkap imaginasi rakyat Malaysia dengan kenyataan beliau bahawa penuntut Institusi Pendidikan Tinggi bebas untuk sertai kempen politik PRU-14. Malangnya, sama seperti kenyataan-kenyataan yang lampau, ianya umpama menanam tebu di bibir mulut. Tidak lebih daripada perbicaraan yang manis tetapi hakikatnya amat lain sama sekali.
Mahasiswa Pakatan Harapan mengambil serius berkenaan kebolehan mahasiswa untuk terlibat secara langsung dalam politik tanahair, kerana ianya suatu keperluan untuk menjamin hak mahasiswa sebagai seorang warganegara Malaysia. Perkara ini telah dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. (kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan).
Atas dasar itu, kami amat kesal sekali akan nasib 15 mahasiswa yang telah dikenakan tindakan akibat menghadiri himpunan Tangkap MO1 yang diadakan di Dataran Merdeka dan bukan di dalam mana-mana kampus universiti pada tahun 2016 yang lalu. Tindakan yang telah diambil terhadap 15 mahasiswa ini menunjukkan dengan jelas bahawa mahasiswa masih belum bebas untuk terlibat secara aktif dalam politik walaupun aktiviti-aktiviti tersebut bertempat di luar kampus institusi pendidikan tinggi.
Pihak kami berpendapat, jika Dato’ Seri Idris Jusoh serius dalam memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik, beliau seharusnya memastikan Institusi Pendidikan Tinggi di bawah bidang kuasanya tidak mengambil tindakan disiplin dengan sewenang-wenangnya terhadap mahasiswa-mahasiswa yang telah menggunakan hak mereka untuk bercakap, berhimpun, dan menubuhkan persatuan seperti yang telah dijaminkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Dato’ Seri Idris Jusoh juga seharusnya segera pinda kaedah-kaedah tatatertib Institusi Pendidikan Tinggi yang menggunakan peruntukan untuk “menjaga imej universiti” untuk menghukum mahasiswa-mahasiswa yang terlibat secara aktif dalam politik tanahair. Keterlibatan dalam politik tidak seharusnya dilihat sebagai suatu ajen perosak imej universiti. Jika kita lihat kepada universiti-universiti yang terkemuka seperti Universiti Harvard, Stanford, Yale, dan Columbia misalnya, semuanya mempunyai ekosistem politik dan aktivisme mahasiswa yang sungguh mekar sekali. Dato’ Seri Idris Jusoh sebagai alumni kepada beberapa universiti antarabangsa sepatutnya lebih memahami akan kepentingan kebebasan mahasiswa untuk berpolitik, bersuara, dan berhimpun dalam membina modal insan yang berguna untuk negara.
Kami alu-alukan perbincangan secara sihat berkenaan perkara ini di antara pihak menteri dan mahasiswa. Oleh itu, kami ingin mencadangkan pihak menteri pendidikan tinggi untuk berdebat dengan kami berkenaan perihal ini. Rakyat Malaysia semua sudah sedar bahawa Perdana Menteri Najib Razak begitu takut sekali untuk berdepan dan berdebat dengan seseorang individu yang sudah pun berumur 92 tahun. Tidak lama lagi, kita akan ketahui sama ada menteri pendidikan tinggi juga tidak berani untuk berdepan bersama mahasiswa, golongan terpelajar yang tidak mudah untuk di tipu dan di kongkong pihak berkuasa.
Pihak mahasiswa Pakatan Harapan berpendapat masih terdapat segelintir mahasiswa yang kini berada di sebuah persimpangan dilema, samaada kekal atau ubah. Kami percaya mahasiswa yang masih di atas pagar ini pasti akan memihak kepada pihak yang boleh menjanjikan hak mereka sebagai warganegara terpelihara dan kerajaan Barisan Nasional dengan jelas telah gagal dalam melaksanakan tanggung jawab itu.
MAHASISWA PAKATAN HARAPAN