OLEH ERMIZI MUHAMAD
KAJANG, 12 APR : Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, menafikan gabungan itu berdepan masalah pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, di negeri berkenaan.
Beliau optimis penyatuan kata sepakat dapat dicapai selewatnya-lewatnya sebelum proses penamaan calon dibuat, dalam tempoh terdekat.
“Saya tidak faham apa yang dimaksudkan bahawa kami berdepan masalah.
“Sebenarnya, proses pembahagian itu berjalan dengan baik dan akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat,” katanya yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor.
Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Dewan Sri Cempaka, Saujana Impian Kajang, petang ini.
Terdahulu, penyandang Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa, PAKATAN berdepan dua permasalahan dalaman yang menyukarkan isu pembahagian kerusi negeri itu dimuktamadkan.
Bagaimanapun, dakwaan pemimpin itu tidak disokong mana-mana pimpinan negeri dan gabungan komponen PAKATAN.