Categories
NASIONAL

BERSIH: Hati-hati ketika ambil hati pengundi

 

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 APR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) melancarkan operasi pemantauan bagi mencegah gejala rasuah menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) tidak lama lagi.

Koordinatornya, Chan Tsu Chong berkata, pihaknya menasihatkan supaya parti politik lebih berhati-hati ketika cuba mengambil hati pengundi.

“BERSIH akan memantau adakah parti politik cuba memberi hadiah yang melampau, mengadakan jamuan makanan yang berlebihan atau mewujudkan pengaruh yang tidak baik kepada pengundi.

“Tujuan badan operasi pemantau ini dilakukan kerana kami tidak mahu acara ‘beli’ undi ini diterapkan dalam masyarakat, biar pilihan raya yang diadakan ini adil dan saksama tanpa cuba dipengaruhi wang ringgit,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, BERSIH mengumumkan operasi pemantauan yang dinamakan Kempen Laporkan Salah Laku PRU14 itu di laman sosial dan boleh disertai orang ramai.

Tsu Chong berkata, terdapat 500 koordinator pemantau mula bertugas di seluruh negara, bermula semalam.

“Terdapat 11 perkara yang akan difokuskan termasuk penggunaan aset dan jentera kerajaan, kelakuan berat sebelah oleh pegawai, politik perkauman, keganasan politik dan tidak ketinggalan pengundian awal atau undi pos.

“Setakat ini, BERSIH tmerekodkan 48 kesalahan sepanjang pilihna raya yang lepas dan antara kesalahan tertinggi ialah penggunaan aset kerajaan,” katanya.

Orang ramai khasnya pengundi boleh mendapatkan maklumat lanjut di www.pemantau.org, sebarang aduan juga boleh e-mel terus kepada [email protected] atau whatsapp kepada 011-17721546.