Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Melaka: 476,037 individu layak mengundi Sabtu ini

MELAKA, 18 NOV: Seramai 476,037 orang pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 orang pengundi berdaftar, layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan memaklumkan bahawa daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 11,557 orang adalah pengundi awal dan 7,601 orang mengundi secara pos.

Beliau berkata pengundi yang telah mengetahui maklumat pengundian, boleh terus ke saluran mengundi dan disaran membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi melalui portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my. aplikasi MySPR Semak dan Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

“Semasa membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat-maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih,” katanya.

Ikmalrudin berkata SPR melalui aplikasi MySPR Semak turut meletakkan maklumat masa keluar mengundi yang digalakkan untuk setiap pengundi, dan mereka dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang.

“Namun demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir, dan mereka perlu sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan serta garis panduan pencegahan Covid-19 pada hari mengundi nanti,” katanya.

Ikmalrudin berkata pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran bagi memudahkan semakan nama pengundi dibuat serta membantu kelancaran proses pengundian.

Selain itu, pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.

“SPR menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Sabtu ini,” katanya.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, dan SPR menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Undi 18: Pendaftaran automatik, termasuk individu di luar negara

SHAH ALAM, 6 OKT: Individu berusia 18 tahun ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pengundi apabila penguatkuasaan undang-undang dibuat, kata timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata penguatkuasaan turut melibatkan individu berada di luar negara walaupun tidak berdaftar sebagai pemilih.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) komited melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik. Segala maklumat warganegara turut didaftarkan dan kalau ikut undang-undang termaktub tiada yang terkecuali.

“Pendaftaran automatik yang akan dilaksanakan pada 31 Disember ini bersandarkan keputusan Mahkamah Kuching,” katanya pada sesi soal jawab dalam Dewan Rakyat,” hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, pilihan raya akan menggunakan sistem berkaitan had usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik bermula Februari tahun depan.

Untuk itu, SPR akan memastikan perkara membabitkan peraturan dan perundangan dua perkara itu selesai menjelang 31 Disember tahun ini dan digunakan awal tahun hadapan.

Awal September, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

 

Categories
NASIONAL

BERSIH: Hati-hati ketika ambil hati pengundi

 

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 APR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) melancarkan operasi pemantauan bagi mencegah gejala rasuah menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) tidak lama lagi.

Koordinatornya, Chan Tsu Chong berkata, pihaknya menasihatkan supaya parti politik lebih berhati-hati ketika cuba mengambil hati pengundi.

“BERSIH akan memantau adakah parti politik cuba memberi hadiah yang melampau, mengadakan jamuan makanan yang berlebihan atau mewujudkan pengaruh yang tidak baik kepada pengundi.

“Tujuan badan operasi pemantau ini dilakukan kerana kami tidak mahu acara ‘beli’ undi ini diterapkan dalam masyarakat, biar pilihan raya yang diadakan ini adil dan saksama tanpa cuba dipengaruhi wang ringgit,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, BERSIH mengumumkan operasi pemantauan yang dinamakan Kempen Laporkan Salah Laku PRU14 itu di laman sosial dan boleh disertai orang ramai.

Tsu Chong berkata, terdapat 500 koordinator pemantau mula bertugas di seluruh negara, bermula semalam.

“Terdapat 11 perkara yang akan difokuskan termasuk penggunaan aset dan jentera kerajaan, kelakuan berat sebelah oleh pegawai, politik perkauman, keganasan politik dan tidak ketinggalan pengundian awal atau undi pos.

“Setakat ini, BERSIH tmerekodkan 48 kesalahan sepanjang pilihna raya yang lepas dan antara kesalahan tertinggi ialah penggunaan aset kerajaan,” katanya.

Orang ramai khasnya pengundi boleh mendapatkan maklumat lanjut di www.pemantau.org, sebarang aduan juga boleh e-mel terus kepada [email protected] atau whatsapp kepada 011-17721546.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

12,580 pengundi Pelabuhan Klang dipindahkan, kaum Cina paling terjejas

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 29 SEPT: Seramai 11,814 pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dipindahkan ke DUN lain dalam Syor Cadangan Kajian Persempadan Semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Cadangan yang dipamerkan kepada umum bermula 15 September hingga 14 Oktober itu menjadikan jumlah terbaru pengundi DUN berkenaan berkurangan kepada 28,604 berbanding sebelum persempadanan seramai 40,418.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Azmizam Zaman Huri berkata, cadangan persempadanan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan yang dipindahkan adalah 12,580 orang termasuk 766 yang dipindahkan dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) yang diwartakan, pada Mac lalu.

“SPR sekali lagi menjadi boneka BN apabila mengumumkan Syor Cadangan Kajian Persempadanan Semula yang ternyata lebih memihak kepada BN pada pilihan raya akan datang.

20160928_143022“Di Selangor, hampir keseluruhan kerusi Parlimen dan DUN terutama dimenangi KEADILAN disabotaj apabila semua daerah mengundi dan lokaliti di setiap parlimen serta DUN disusun semula demi memastikan kemenangan berpihak kepada BN,” katanya.

Azmizam yang juga Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat (MPP) berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat Pelabuhan Klang, di Taman Pandamaran, di sini, semalam.

Katanya, seramai 7,560 atau 60 peratus daripada 12,580 pengundi yang dipindahkan itu berumur bawah 40 tahun yang dianggap sebagai golongan berfikiran lebih terbuka dan celik dengan perkembangan politik dan isu semasa.

Mengikut komposisi kaum pula, jumlah pengundi Cina paling ramai dipindahkan membabitkan 6,470 orang kebanyakannya ke tiga DUN berhampiran yang dikuasai DAP iaitu Kota Alam Shah, Pandamaran dan Sungai Pinang menjadikan jumlah pengundi Cina di Pelabuhan Klang selepas persempadanan kepada 5,194 orang berbanding sebelum persempadanan 11,664.

Keadaan ini, sekali gus menjadikan peratusan pengundi Cina di Pelabuhan Klang merosot kepada 18 peratus berbanding sebelum persempadanan, 28 peratus.

20160928_152157

Pada PRU-13 lalu menyaksikan DAP menang besar di Kota Alam Shah dengan majoriti 13,369 undi, Pandamaran (majoriti 9,176 undi) dan Sungai Pinang (majoriti 11,309 undi), manakala bagi DUN Pelabuhan Klang pula, KEADILAN menang dengan hanya majoriti 2,994 undi sahaja.

Katanya, pemindahan pengundi secara besar-besaran itu jelas satu penipuan secara terang-terangan cuba membantu memenangkan BN di DUN Pelabuhan Klang.

Sementara itu, pemindahan pengundi Melayu pula hanya melibatkan 2,973 orang kepada 18,677, sekali gus meningkatkan dominasi pengundi Melayu kepada 65 peratus berbanding sebelum persempadanan seramai 21,650 atau 53 peratus.

Manakala bagi pengundi India pula, seramai 2,615 orang dipindahkan menjadikan jumlah selepas persempadanan 4,670 (16 peratus) berbanding 7,285 (18 peratus) dan lain-lain kaum seramai 36 orang dipindahkan menjadikan 63 (0.22 peratus) berbanding sebelum persempadanan 99 (0.25 peratus).

-NFN-

Categories
SELANGOR

Apa motif SPR pindah DUN pengundi?

Oleh : AFEEQA AFEERA

KAJANG: Blogger Milo Suam melaporkan pengundi cina dikenali sebagai Lee Kim Seng, yang juga penduduk di Taman Jenaris, Kajang membuat aduan namanya dipindahkan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) lain tanpa pengetahuannya, baru-baru ini.

Kim Seng, 47, mendakwa sudah empat kali mengundi di DUN Kajang, namun dipindahkan lokalitinya daripada Kajang ke Bangi sewaktu beliau membuat semakan di laman sesawang SPR.

Pengundi Kajang 1-774962Beliau turut mendakwa ada jentera Barisan Nasional (BN) memaklumkan kepadanya dan penduduk Jalan Reko, Kajang supaya tidak turun mengundi, pada 23 Mac ini.

Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa semua pengundi Kajang untuk membuat semakan awal berhubung lokaliti mereka melalui portal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengelakkan sebarang masalah ketika hari pembuangan undi.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei, berkata tindakan itu adalah susulan aduan seorang pengundi berbangsa cina yang memaklumkan namanya dipindahkan ke DUN lain.

Beliau berkata, pengundi berkenaan mengakui sudah mengundi di DUN Kajang empat kali termasuk pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu.

“Apabila dia semak namanya di daftar pemilih SPR untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, namanya tidak ada.

suhaimie shafie-1Tetapi bila semak di laman sesawang SPR, namanya dipindahkan ke Semenyih, tetapi dia tidak pernah mengubah tempat mengundi,” katanya yang dipetik daripada Harakah Daily.

Shuhaimi berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan berlaku lagi kes sedemikian khususnya membabitkan pengundi Cina kerana ia bukan kes terpencil.

Katanya, tindakan memindahkan nama pengundi secara senyap akan menyebabkan mereka berdepan kesulitan ketika hari pembuangan undi.

“Jika pengundi tidak sedar nama mereka dipindahkan secara senyap, ia akan menyusahkan mereka pada hari membuang undi.

“Kalau kita keluar mengundi jam 4 petang tiba-tiba tiada nama kita, sudah tentu kelam kabut dan tidak mustahil pengundi tidak jadi tunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.

-NFN-