OLEH ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 25 APR: Pentadbiran Putrajaya di bawah kepimpinan Umno Barisan Nasional (Umno BN) gagal mengangkat martabat perpaduan kaum di negara kini, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, kegagalan itu berpunca daripada kelemahan urus tabdir Putrajaya meningkatkan pendapatan rakyat kebiasaan khususnya golongan bumiputera.
“Jurang perpaduan ini menjadi jauh kerana pendapatan bumiputera tidak meningkat seperti pendapatan nasional yang tinggi.
“Kita sedar bahawa keutamaannya adalah daya beli. Jika pendapatan meningkat tetapi daya beli menurun kerana mata wang merosot, ia juga tidak membantu meingkatkan taraf kehidupan yang baik kepada rakyat.
“Sebab itu, Kerajaan perlu menentukan nilai mata wang tidak merosot dan daya beli meningkat bersama dengan pendapatan kita.
“Saya berpendapat, keadaan ini sangat merunsingkan kerana ramai orang Melayu menjadi miskin dan terpaksa berpidnah di luar bandar.
“Keadaan itu akan mengasingkan komposisi kaum-kaum dan Kerajaan Persekutuan perlu tentukan perpisahan antara kaum dari segi kewangan mestilah dikurangkan,” kata Pengerusi Pakatan Harapan itu di Facebook.
Tun Mahathir berkata, jurang pendapatan menimbulkan masalah sekiranya isu berkenaan gagal diselesaikan di peringkat akar umbi khususnya.
Beliau berkata, ia sekali gus memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara untuk masa depan.
“Kita perlu memahami aset sedia ada kepada bumiputera dan aspek kebajikan itu tidak dipisahkan sebagai ases tanggungjawab kepada golongan bumiputera.
“Jika masalah ini dapat diselesaikan, masalah kehilangan aset dan jaminan jurang perpaduan kaum itu dapat dikurangkan,” katanya.
=EZY=