Categories
SASTERA

Alangkah Indah Negeri Ini

Satu bola api dipanah biar jatuh
buat makan tengah hari
siapa perlukan tengkujuh?
ini bukan lebih panas dari biasa
kelaparan bukan apa-apa
anak-anak sekadar terkedang
bahagia menunggumu datang
ah. alangkah indah negeri ini
kami mati dipanah sendiri.

Payung di kaki menadah salju
mengganti cawanku
buat minum malam
ini bukan lebih kematu dari biasa
hujung jari sekadar tak terasa
siapa mengungkit dingin?
kedut kulit kami sekadar biru
seperti baju yang dibasuh kelmarin
ah. alangkah indah negeri ini
kami mati payung di kaki.

Sekeping janji sebagai alas tidur
tuanlah membantal kepala
sebelum mereka datang dengan senapang
dan malam menjadi selamanya
siapakah mahu berjaga
di neraka?
air mata sekadar kidung
seperti irama radio sambil minum petang
ketika kau menjemputku pulang
ah. alangkah indah negeri ini
kami mati di mata saksi.

 

Hidayu Hatta
Irbid, Jordan