Categories
NASIONAL RENCANA

Elak terjerumus lembah khurafat ketika berubat

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 4 APR: Kaedah rawatan alternatif atau dipanggil tradisional dan komplementari (PT&K) semakin mendapat perhatian masyarakat hari ini.

Pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah, Dr Jahid Sidek berkata, melalui tinjauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2004, kira-kira 69.4 peratus penduduk Malaysia pernah menggunakan kaedah rawatan berkenaan.

Katanya, ia sekaligus turut mempengaruhi perkembangan aktif pelbagai pusat rawatan alternatif termasuk pusat-pusat rawatan spiritual Islam (RSI) sejak tahun 80 an.

“Namun apa yang membimbangkan apabila kemungkinan ada yang terjebak dengan perkara khurafat ketika cuba mendapatkan rawatan alternatif ini.

“Rata-ratanya mendapat maklumat mengenai rawatan Islam melalui media sosial sehingga menyebabkan mereka terlibat dengan ilmu dan amalan yang salah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi pembentangan Rawatan Spiritual Islam di Konvensyen Rumah Pemulihan Riqab Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Tidak dinafikan kaedah rawatan pawang dan bomoh tanpa disedari telah meresap ke dalam kaedah rawatan Islam dengan membawa amalan khurafat.

Apakah Khurafat Itu?

Melalui buku bertajuk, Penjelasan Istilah Yang Boleh Membawa Penyelewengan Akidah, JAKIM 2006 mendefinasikan khurafat ialah cerita yang dicampuradukkan dengan perkara dusta, khayalan, pantang larang, ramalan, pemujaan serta kepercayaan yang bertentangan dengan agama Islam.

Antara amalan khurafat yang seringkali digunakan oleh perawat yang kononnya menggunakan kaedah rawatan Islam ialah menggunakan pengeras, puja hajat, alin telur, menggunakan jin dan syaitan, tilikan, tangkal azimat, pukau dan juga rawatan jarak jauh.

Jahid yang juga Ahli Jilsah, Turuq Sufiyyah, Kerajaan Negeri Sembilan memberitahu, media baru seperti internet dan telefon bimbit merupakan punca berkembangnya cara rawatan yang bertentangan dengan akidah.

“Sesiapa sahaja yang berminat dan ingin menjadi perawat boleh belajar dengan mudah, lebih menakutkan apabila masyarakat tidak dapat membezakan antara yang hak dan juga batil sehingga bertentangan dengan akidah serta syarak,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, amalan khurafat seperti pengeras adalah berbeza dengan upah seperti bayaran untuk sesuatu khidmat rawatan.

Melalui pengamalan Jahid, pengeras begitu penting bagi syaitan dan juga jin berikutan ianya adalah tanda kejayaan setelah membawa manusia ke lembah syirik.

“Begitu juga dengan tangkal azimat dan antara yang paling popular di kalangan masyarakat ialah memagar rumah. Ada yang memagar rumah menggunakan paku, garam dan sebagainya.

“Selepas itu mereka merasa yakin penyakit yang menyerang ahli rumah tersebut tidak akan datang ke rumah semula dan rumah tersebut akan menjadi kebal daripada apa juga perbuatan sihir,” katanya.

Namun sebenarnya, dalam jangka masa yang panjang, simpulan sihir yang digunakan untuk memagar rumah akan menimbulkan pelbagai kesan negatif dan membahayakan ahli keluarga turun-temurun.

Syaitan yang digunakan dalam khidmat memagar akan melakukan gangguan terhadap sesiapa sahaja di dalam rumah, selagi pagar tersebut tidak dimusnahkan kesan buruknya akan terus berlaku.

Jaga Akidah Jauhi Amalan Jejas Tauhid

Hanya ALLAH SWT sahaja yang boleh mendatangkan manfaat dan mudarat. Oleh yang demikian, Islam telah memerangi segala apa juga rupa bentuk akidah yang salah, sesat dan berlawanan dengan akidah tauhid.

Jahid berkata, membimbangkan apabila amalan ini cuba menggunakan nama rawatan Islam sehingga masyarakat tidak menyedarinya.

“Kita akan berterusan dalam dosa-dosa amalan syirik yang mungkin dibawa hingga ke mati. Tidakkah kita bimbang sekiranya termasuk diantara golongan orang yang dimasukkan ke dalam neraka yang berpunca daripada dosa amalan khurafat ini?.

“Sekiranya ingin mencari rawatan Islam, cari dan selidiklah dengan sebaiknya,” katanya.