Categories
SUKANKINI

FAM, Dotcomsport kerjasama bangun pemain

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 APR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjalin kerjasama dengan syarikat dari Belanda, Dotcomsport, dalam membantu pembangunan pemain di negara ini.

Dalam kenyataannya, FAM memaklumkan, menerusi kerjasama itu Dotcomsport yang memiliki kepakaran dan pengalaman luas bekerja dengan pelbagai inisiatif berkaitan pembangunan bola sepak akan membantu bagi tujuan berkenaan.

Selain menawarkan sistem pembangunan pemain yang lebih meluas, syarikat terbabit juga akan berkongsi kepakaran dalam perkhidmatan lain seperti penyusunan pasukan dari segi formasi serta taktikal, komunikasi antara pemain dan jurulatih, persediaan digital untuk latihan dan perlawanan, analisis dan juga reviu perlawanan.

Melalui Dotcomsport, Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo berkata, ia akan memberikan penekanan terhadap penggunaan video sebagai alat keperluan semasa latihan.

“Dengan sukacitanya, FAM mengumumkan perjanjian bersama Dotcomsport untuk memperkenalkan sistem pemantauan pemain yang akan membantu meningkatkan perkembangan pemain kami.

“Ini adalah satu lagi medium bagi jurulatih untuk berkomunikasi antara satu sama lain dan pemain. FAM menggunakan sistem pemantauan pemain iaitu Dotcomsport di mana ia satu langkah terhadap pembangunan pemain elit kami,” katanya.

Kerjasama antara kedua pihak terjalin melalui satu majlis menandatangani perjanjian berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, dekat sini, semalam.

FAM diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin manakala Dotcomsport diwakili Pengarahnya, Johan Henkes.

Dalam majlis itu, kakitangan FAM antaranya barisan kejurulatihan, pasukan ‘scout’ (pencari bakat), pasukan doktor dan pasukan penganalisis video telah diperkenalkan dengan program berkenaan.

=EZY=