Categories
SELANGOR

Fasiliti baru, penantian 30 tahun warga Rawang berakhir

OLEH ERMIZI MUHAMAD

RAWANG, 4 APR: Penantian warga Rawang untuk menikmati jaringan pengangkutan dan infrastruktur jalan raya baru sejak 30 tahun lalu akhirnya dilaksanakan secara efektif pentadbiran Kerajaan Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Gan Pei Nei berkata, kemudahan jalan raya di Batang Berjuntai dan Batu Arang sebelum ini tidak dilaksanakan secara komprehensif pentadbiran Kerajaan terdahulu, sebelum 2008.

Bagaimanapun katanya, warga Rawang sudah boleh menarik nafas lega apabila pentadbiran Selangor menyalurkan peruntukan sebanyak RM42 juta, bagi tujuan pembinaan Jambatan di atas Lebuhraya Utara Selatan Batu Arang, Rawang.

“Jalan sedia ada ini sudah terlalu lama sejak 1980an dan belum pernah dinaiktaraf lagi (pentadbiran sebelum ini). Jadi sebenarnya isu ini adalah isu yang sangat lama sejak 30 tahun lalu.

“Tapi Kerajaan Negeri di bawah Pakatan berjaya melakukan penaiktarafan pada 2008 melibatkan fasa pertama pembaikan jalan.

Beliau menghargai komitmen dan keprihatinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Kerajaan Selangor yang memberi kelulusan terhadap projek ini pada kadar segera.

“Ini menjadi satu berita baik kepada penduduk yang sudah lama menantikan sebuah projek bermanfaat untuk warga Rawang,” katanya kepada SelangorKini pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan berkenaan yang dirasmikan sendiri, Dato’ Menteri Besar.

Terdahulu, projek berkenaan mula diluluskan di peringkat Kerajaan Negeri selepas pengambilalihan milik tapak dibuat pada 14 Februari 2018.

Projek itu dijangka siap bagi tempoh tiga tahun, dengan lantikan kontrak dibuat menerusi tender terbuka dan diserahkan kepada kontraktor, Ehsan Pantas Sdn Bhd.

Difahamkan, pembangunan projek berkenaan bakal mengurangkan kesesakan trafik di laluan utama Batang Berjuntai dan boleh memberi manfaat kepada 100,000 orang penduduk Rawang.

=EZY=