Categories
AGENDA NASIONAL

Kilang cat di Rawang lepas sisa buangan ke loji rawatan kumbahan IWK

PUTRAJAYA, 17 JAN: Sebuah kilang pembuatan dan penjualan cat di Taman Industri Nautical di Rawang, Selangor disyaki melepaskan efluen terlarang ke dalam loji rawatan kumbahan milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pihaknya menerima aduan daripada IWK berhubung kemasukan efluen terlarang itu hari ini dan kemudiannya membuat pemeriksaan secara mengejut ke atas kilang berkenaan.

Katanya, kilang tersebut disyaki melepaskan efluen terlarang iaitu efluen pembuatan cat berwarna merah ke dalam sistem pembetungan awam dan seterusnya mengalir masuk ke Loji Pengolahan Kumbahan/Stesen Pam (GBK 281) miliki IWK di Taman Industri Nautical Rawang, Selangor.

“Perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini dapat dikesan awal dan tidak melibat sebarang pencemaran sumber air yang akan mengakibatkan henti tugas loji rawatan air,” menurut SPAN dalam satu kenyataan hari ini.

Suruhanjaya itu berkata pemeriksaan hari ini dilakukan SPAN bersama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Lembaga Urus Air Selangor, Majlis Perbandaran Selayang dan IWK.

SPAN akan mengambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi ke atas mana-mana pihak disyaki melepaskan sebarang efluen terlarang ke dalam lurang pembetungan awam yang memberi impak kepada sistem rawatan kumbahan awam dan alam sekitar.

Perbuatan melepaskan atau membuang sebarang efluen terlarang ke dalam sistem pembetungan awam akan disiasat di bawah Seksyen 61(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

SPAN memohon kerjasama orang awam untuk melaporkan kes-kes pencemaran kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan SPAN di talian 03–8317 9333 atau e-mel ke [email protected].

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

STFC: Rawang, Ampang Pecah kini zon kuning

SHAH ALAM, 12 OKT: Mukim Rawang di Gombak dan Ampang Pecah di Hulu Selangor menjadi zon kuning selepas mencatatkan kes baharu Covid-19 hari ini.

Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan dua kes baharu direkodkan di Rawang dan satu di Ampang Pecah daripada 69 kes keseluruhan di negeri ini sehingga jam 12 tengah hari.

“Selangor merekodkan 329 kes aktif iaitu individu yang boleh menjangkiti orang lain dan 109 kes melibatkan individu yang mendapat jangkitan di negeri lain,” katanya menerusi Facebook hari ini.

STFC menjelaskan berdasarkan situasi terkini, perkara paling utama ialah memutuskan rantaian jangkitan dengan mengamalkan norma baharu dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

“Semua warga Selangor memainkan peranan, tidak kisah sama ada berisiko atau tidak, amalkan norma baru dengan sepenuh hati.

“Amalkan dan sentiasa saling berpesan untuk menjaga penjarakan fizikal, basuh tangan dengan kerap dan pakai pelitup muka,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri memaklumkan Klang merekodkan jumlah kes positif baharu tertinggi dengan 35 kes diikuti Petaling (14), Hulu Langat (12), Gombak (5), Hulu Selangor (2) dan Kuala Langat (satu).

Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia turut mengesan satu kluster baharu dinamakan kluster Bah Tropicana di Petaling.

Categories
AGENSI SELANGOR

Lelaki ‘gelang merah jambu’ ditahan ketika makan di restoran

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Seorang lelaki yang memakai ‘gelang merah jambu’ ditahan selepas disyaki melanggar syarat kuarantin Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Covid-19 dengan makan di sebuah restoran di Bandar Tasik Puteri, Rawang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata lelaki berusia 52 tahun itu ditahan di hadapan restoran itu kira-kira jam 7.30 malam setelah menerima aduan daripada orang awam.

“Semakan mendapati lelaki berkenaan diarahkan menjalani kuarantin di rumah bermula semalam hingga 16 Oktober depan selepas ujian saringan Covid-19 di klia2 (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2) dan keputusan (ujian saringan) masih belum diterima,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata lelaki itu akan direman esok bagi membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu sebarang perbuatan yang dilakukan menyebabkan merebaknya penyakit yang membahayakan kepada nyawa.

Selain itu, katanya siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 8) 2020.

“Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi perintah menjalani kuarantin yang telah diberikan oleh Kementerian Kesihatan bagi memastikan keselamatan mereka, keluarga serta orang lain. Perbuatan ini juga boleh menggusarkan masyarakat sekitar, “ katanya.

Terdahulu, tular di media sosial gambar menunjukkan sepasukan anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas seorang lelaki di hadapan sebuah restoran di Bandar Tasik Puteri.

-BERNAMA

 

Categories
ADN SELANGOR

Jalan Pintas Bandar Rawang atasi kesesakan trafik, jimat masa

SHAH ALAM, 4 OGOS: Pembukaan Jalan Pintas Bandar Rawang sepanjang satu kilometer mampu menjimatkan masa penduduk Bukit Rawang Jaya dan Hulu Selangor ke Kuala Lumpur sehingga 15 minit.

Ahli Dewan Negeri Rawang, Chua Wei Kiat berkata pembukaan jalan itu juga dapat menyurai kesesakan trafik yang sering berlaku di pekan Rawang.

“Jalan ini dibina secara dua hala sejak lebih 12 tahun lalu tetapi yang dibuka (kepada pengguna) hanya Kampung Lee Kim Sai ke Bandar Rawang manakala menghala ke Kuala Lumpur ditutup disebabkan isu tanah dan keselamatan.

“Susulan itu, kita kerap mengadakan perbincangan bersama Mahumas Sdn Bhd (pemaju), ahli parlimen, pejabat tanah dan daerah, jabatan kerja raya termasuk wakil Masjid Jamek Nurul Iman untuk mencari jalan menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada SelangorKini.

Jalan Pintas Bandar Rawang dibuka sepenuhnya kepada pengguna mulai 12 tengah malam ini.

Terdahulu, beliau merasmikan pembukaan jalan berkenaan yang turut dihadiri Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen dan Pegawai Daerah Gombak, Shukri Mohamad Hamin.

Difahamkan, jalan baharu dari persimpangan lampu isyarat pasar raya Mydin melalui Masjid Jamek Nurul Iman dibuka sepenuhnya kepada pengguna mulai 12 tengah malam ini.

Sementara itu, Shukri menyeru pemaju meneruskan mana-mana projek pembinaan jalan yang terbiar meskipun proses mencari jalan penyelesaian mengambil masa panjang.

“Mereka (pemaju) perlu berbincang bagi mencapai keputusan menang-menang kerana setiap masalah terutama melibatkan keselamatan dan kepentingan masyarakat itu harus diutamakan,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Bakau

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika bermain di Sungai Bakau, Rawang dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 3.30 petang itu, mangsa yang bermain bersama abangnya di tebing sungai berkenaan dikatakan tergelincir sebelum dihanyutkan arus deras.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 3.49 petang.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kedalaman paras air di sungai berkenaan adalah kira-kira satu meter.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan di kawasan tebing sungai dan setakat 8 malam, mangsa masih belum ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi SAR dihentikan malam ini dan akan disambung pada pukul 8 pagi, esok.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Ribut di Rawang, Kerajaan Negeri kumpul maklumat kerosakan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

RAWANG, 6 MEI: Kerajaan Negeri sedang mengumpulkan maklumat lanjut berkaitan kerosakan yang dihadapi penduduk berikutan kejadian ribut kencang Jumaat lalu bagi urusan penyaluran bantuan dana.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata, ketika ini Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah ditutup sejak semalam dan semua mangsa terlibat sudah pulang ke rumah masing-masing.

“Kita akan kumpulkan maklumat tentang kerosakan yang dihadapi mangsa dan kita akan bawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) minggu ini bagi membincangkan tentang penyaluran peruntukan.

“Kita akan pastikan semua penduduk dalam keadaan selamat dan selesa, lagi-lagi ketika menghadapi Ramadan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya sudah menghantar sumbangan kecemasan kepada mangsa yang terlibat pada Sabtu lalu.

Empat lokasi terjejas adalah Taman Jati, PKNS Batu 17, Taman Setia Batu 16 dan Pangsapuri Rawang Perdana 1 termasuk bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan tun Perak serta tangki air Blok Cempaka Tun.

Berikutan bencana itu, satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Dewan Majlis Perbandaran Selayang Taman Kanching Jaya.

Sekurang-kurangnya 200 keluarga terjejas dalam kejadian ribut terbabit.

Categories
SELANGOR

Akses teknologi mampan, jaminan keselamatan Jambatan Batu Arang Rawang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

RAWANG, 4 APR: Pembangunan Projek Jambatan di atas Lebuhraya Utara Selatan Batu Arang mengaplikasikan penggunaan teknologi terkini dan bersistematik.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Dato’ Ir Ruslan Abdul Aziz berkata, ia dilengkapi teknik penstrukturan tebing dan tembok penahan yang menjamin kestabilan projek berkenaan.

“Tembok penahan dan sistem perparitan turut melengkapi projek pembangunan ini, termasuklah skop pelebaran jalan dan pembinaan jambatan baru sepanjang 67 meter menerusi penambahan dua laluan baru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Projek Jambatan di atas Lebuhraya Utara Selatan di Jalan Batu Arang, Batang Berjuntai.

Difahamkan, projek yang menelan belanja sebanyak RM42 juta itu turut merangkumi pembinaan jambatan baru untuk tambahan dua lorong.

Selain itu, pembangunan turut tertumpu kepada kerja-kerja penaiktarafan jalan jambatan di sepanjang laluan 1.25 kilometer daripada dua lorong kepada empat lorong.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin turut turun padang merasmikan Majlis Pecah Tanah sebagai simbolik pembangunan projek berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Gan Pei Nei berkata, projek berkenaan bakal memberi manfaat kepada lebih 100,000 warga Rawang yang telah lama menantikan jajaran jalan baru sejak tempoh 30 tahun lalu.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Fasiliti baru, penantian 30 tahun warga Rawang berakhir

OLEH ERMIZI MUHAMAD

RAWANG, 4 APR: Penantian warga Rawang untuk menikmati jaringan pengangkutan dan infrastruktur jalan raya baru sejak 30 tahun lalu akhirnya dilaksanakan secara efektif pentadbiran Kerajaan Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Gan Pei Nei berkata, kemudahan jalan raya di Batang Berjuntai dan Batu Arang sebelum ini tidak dilaksanakan secara komprehensif pentadbiran Kerajaan terdahulu, sebelum 2008.

Bagaimanapun katanya, warga Rawang sudah boleh menarik nafas lega apabila pentadbiran Selangor menyalurkan peruntukan sebanyak RM42 juta, bagi tujuan pembinaan Jambatan di atas Lebuhraya Utara Selatan Batu Arang, Rawang.

“Jalan sedia ada ini sudah terlalu lama sejak 1980an dan belum pernah dinaiktaraf lagi (pentadbiran sebelum ini). Jadi sebenarnya isu ini adalah isu yang sangat lama sejak 30 tahun lalu.

“Tapi Kerajaan Negeri di bawah Pakatan berjaya melakukan penaiktarafan pada 2008 melibatkan fasa pertama pembaikan jalan.

Beliau menghargai komitmen dan keprihatinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Kerajaan Selangor yang memberi kelulusan terhadap projek ini pada kadar segera.

“Ini menjadi satu berita baik kepada penduduk yang sudah lama menantikan sebuah projek bermanfaat untuk warga Rawang,” katanya kepada SelangorKini pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan berkenaan yang dirasmikan sendiri, Dato’ Menteri Besar.

Terdahulu, projek berkenaan mula diluluskan di peringkat Kerajaan Negeri selepas pengambilalihan milik tapak dibuat pada 14 Februari 2018.

Projek itu dijangka siap bagi tempoh tiga tahun, dengan lantikan kontrak dibuat menerusi tender terbuka dan diserahkan kepada kontraktor, Ehsan Pantas Sdn Bhd.

Difahamkan, pembangunan projek berkenaan bakal mengurangkan kesesakan trafik di laluan utama Batang Berjuntai dan boleh memberi manfaat kepada 100,000 orang penduduk Rawang.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Pesta bola sepak DUN Rawang meriah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 FEB: Pesta Bola Sepak 9 Sebelah yang diadakan di Stadium Mini Taman Kanching Jaya, di sini, berlangsung dengan penuh meriah.

Ahli Dewan Negeri Rawang, Gan Pei Nei berkata, ia adalah anjuran bersama Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 14, Rawang.

“Pesta Bola Sepak ini membabitkan 16 pasukan terdiri daripada penduduk, di kawasan Rawang dan Selayang.

“Acara sukan seperti ini sememangnya diadakan setiap tahun bertujuan mencungkil bakat baharu pemain bola sepak,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, Pei Nei turut merasmikan acara Pesta Bola Sepak 9 Sebelah itu, pada 25 Februari lalu.

Selain itu, Pei Nei berkata, pesta terbabit juga dilaksanakan untuk memanfaatkan stadium mini berkenaan yang sudah siap kerja naik tarafnya bagi fasa pertama.

“Kerja naik taraf infrastruktur stadium mini ini bagi menggalakkan orang ramai dapat menggunakannya dengan kemudahan yang lebih lengkap dan selesa,” katanya.

Terdahulu, pesta berkenaan membabitkan kategori golongan belia berumur 35 tahun ke bawah.

Antara hadiah ditawarkan adalah johan membawa pulang RM700, piala pusingan dan medal, manakala naib johan (RM400) dan medal selain tempat ketiga (RM300) dan medal sementara tempat keempat (RM150) juga medal.

Categories
SELANGOR

Penduduk Rawang terima perpustakaan mini

OLEH ERMIZI MUHAMAD

RAWANG, 9 MEI: Sebuah perpustakaan mini di Taman Bersatu Rawang dibangunkan bagi membolehkan penduduknya menikmati akses pembelanjaran ilmu secara percuma.

RAWANG (2)Ahli Dewan Negeri Rawang, Gan Pei Nei berkata, penduduk perlu memanfaatkan kemudahan penyediaan perpustakaan itu untuk keperluan masa depan.

“Jauh berjalan luas pengalaman, banyak membaca luas pengetahuan,” katanya di Facebook.

Perpustakaan itu dibuka setiap Isnin hingga Jumaat, bermula jam tiga dan ditutup jam enam petang.

Difahamkan, inisiatif pembangunan perpustakaan itu diusahakan Jawatankuasa Penduduk Zon 15 (JKP Zon 15) dan Ahli Majlis MPS Zon 15.

Terdahulu, Pei Nei hadir merasmikan pelancaran pembukaan operasi perpustakaan itu, pada 7 Mei lalu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Projek tebatan banjir atasi banjir kilat sekitar Bandar Country Home

RAWANG, 21 APR: Kerajaan Negeri meluluskan dua projek tebatan banjir bagi mengatasi masalah banjir kilat berlaku di Bandar Country Home dan kawasan sekitarnya.

Ahli Dewan Negeri Rawang, Gan Pei Nei, berkata dua projek itu adalah di Sungai Gong serta Sungai Bakau yang sedang berjalan dan dijangka siap sepenuhnya, pada November ini.

Bagaimanapun, katanya, berlaku sedikit kelewatan hingga menimbulkan masalah apabila hujan lebat mengakibatkan sistem sungai dan kolam takungan sedia ada gagal mencapai kapasiti sepatutnya.

gan pei nei“Itu sebabnya berlaku banjir kilat dan menimbulkan kesulitan kepada penduduk juga pengguna lalu lintas di kawasan berkenaan.

“Namun, saya sendiri akan memantau projek ini dan kita meminta jabatan berkaitan khasnya Jabatan Pengairan dan Saliran bagi menyegerakan segala kerja pembinaan projek mengikut jadual ditetapkan,” katanya kepada SelangorKini, di sini, semalam.

Pada 18 April lalu, berlaku banjir kilat di pasar Rawang seterusnya kawasan tol Rawang hingga Bandar Country Home akibat hujan lebat hingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas dalam tempoh lama di kawasan itu.

Pei Nei berkata, dua Sungai Gong dan Bakau adalah sungai utama yang selama ini tidak dinaik taraf tetapi dalam sistem tebatan banjir di DUN Rawang, kini sedang melalui proses terbabit.

Beliau berkata, pembangunan pesat di kawasan itu ditambah musim hujan ketika ini antara punca banjir kilat itu berlaku.

“Dengan hujan lebat, maka kuantiti air besar di Sungai Gong menyebabkan sistem sungai dan saliran sedia ada tidak dapat menampung hingga mengakibatkannya melimpah ke tepi jalan raya memenuhi kawasan dari tol Rawang ke Bandar Country Home,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Taman Tun Perak juga antara kawasan yang kerap berlaku banjir akibat air dari Sungai Pajam yang melimpah keluar.

Katanya, pihaknya meminta JPS Gombak mengkaji semula sistem sungai di situ dengan mengambil kira pembangunan projek Lebuhraya Assam Jawa-Taman Rimba Templer (LATAR) yang dijalankan ketika ini hasil lawatan ke kawasan itu.

“Kita perlu buat kajian lebih menyeluruh sama ada sistem sedia ada perlu dinaik taraf atau terdapat cadangan lain supaya tidak lagi berlaku banjir kilat,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Putrajaya iktiraf Rawang bandar selamat 2017

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 APR: Pusat Bandar Rawang dipilih sebagai Projek Bandar Selamat 2017 bagi kerja pemulihan kawasan ‘blackspot’ jenayah membabitkan peruntukan RM400,000.

RAWANG (1)Ahli Dewan Negeri Rawang, Gan Pei Nei berkata, peruntukan di bawah Kementerian Dalam Negeri itu dilaksanakan bagi mengurangkan kadar jenayah di kawasan berkenaan.

“Tender projek dijangka siap dalam bulan ini dan kerja naik taraf dijangka siap, pada Jun ini.

“Tempoh penilaian enam bulan akan diadakan selepas projek bandar selamat ini siap dengan tumpuannya terarah untuk melihat keberkesanan dalam mengurangkan kadar jenayah di Pusat Bandar Rawang,” katanya di Facebook.

Sementara itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah peruntukan kepada Majlis Perbandaran Selayang bagi kerja pemasangan unit kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan terbabit sebagai menyokong usaha berkenaan.

“MPS kini juga mempunyai 50 unit CCTV dalam kawasannya melalui peruntukan Kerajaan Negeri bagi membantu memantau aktiviti jenayah dan sosial,” katanya.

Difahamkan, lanjutan perancangan kini sudah mencapai fasa kedua sebelum gerak kerja pembaikan dijalankan pihak kontraktor.

Terdahulu, Pei Nei bersama Pegawai Pusat Khidmat Rawang, Kumaran Adakalam dan Pegawai Jabatan Perancang Bandar, Letchumanan turun padang meninjau pembangunan projek berkenaan, pada 10 April lalu.

-NFN-