Categories
EKONOMI

Harga minyak Brent melepasi paras AS$75 setong

SINGAPURA 24 APR: Minyak mentah Brent menokok untuk hari keenam, melepasi AS$75 setong dengan jangkaan bekalan akan berkurangan dan pada masa sama Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan mengenakan sekatan ke atas Iran.

Dagangan hadapan minyak mentah Brent menokok setinggi AS$75.20 setong pada awal dagangan hari ini, tertinggi sejak 27 November 2014.

Brent masih pada AS$75 setong pada 0311 GMT naik 29 cent, atau 0.4 peratus, daripada penutup sebelum ini.

Kenaikan enam hari Brent itu adalah yang tertinggi sejak kenaikan yang dicatat pada Disember dan ia menokok lebih 20 peratus daripada paras terendah Februari 2018.

West Texas Intermediate (WTI) didagangkan pada AS$68.98 setong, menokok 34 cent, atau 0.5 peratus daripada penutup sebelum ini.

Khamis lalu, WTI menokok setinggi AS$69.56, tertinggi sejak 298 November 2014.

Pasaran mendapat lonjakan susulan pengurangan bekalan diterajui Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang diperkenalkan pada 2017 bertujuan menaikkan harga.

Potensi sekatan baharu yang akan dikenakan AS ke atas Iran turut menolak naik harga.

Ketua Dagangan Asia Pasifik di OANDA, Stephen Innes, berkata sekatan baharu ke atas Tehran itu “boleh menolak naik harga minyak sehingga AS$5 setong.”

AS ada sehingga 12 Mei untuk memutuskan sama ada ia akan keluar daripada perjanjian nuklear Iran dan mengenakan semula sekatan pengeluar ketiga terbesar OPEC itu, yang mana ini akan mengurangkan lagi bekalan global.

“Minyak mentah kini berada di paras tertinggi dalam tiga tahun, mencerminkan kebimbangan berhubung ketegangan geopolitikal di Asia Barat, yang adalah sumber hampir separuh bekalan minyak dunia,” kata Bank ANZ.

SUMBER: REUTERS