SINGAPURA 16 APR: Harga minyak turun hari ini dengan pasaran dibuka lebih berhati-hati susulan serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Eropah ke atas Syria pada hujung minggu.
Selain itu, penggerudian pengeluaran minyak baharu di AS terus meningkat.
AS, Perancis dan Britain melancarkan serangan 105 peluru berpandu Sabtu lalu, yang mana sasarannya didakwa tiga kemudahan senjata kimia di Syria sebagai tindak balas kepada dakwaan serangan gas beracun oleh rejim Assad di Douma pada 7 April.
Dagangan hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$71.87 satu tong pada 0124 GMT, susut 71 cent, atau satu peratus berbanding penutup sebelumnya.
West Texas Intermediate (WTI) didagangkan 59 cent, atau 0.9 peratus, lebih rendah pada AS$66.80 satu tong.
Pedagang berkata, pasaran di Asia mula berhati-hati selepas serangan itu, sementara pasaran minyak juga mendapat tekanan daripada peningkatan aktiviti penggerudian di AS.
Syarikat minyak AS menambah tujuh pelantar penggerudian bagi pengeluaran baharu dalam minggu berakhir 13 April, menjadikan jumlah keseluruhan 815, tertinggi sejak Mac 2015, demikian menurut firma perkhidmatan tenaga Baker Hughes.
SUMBER: REUTERS