Categories
SELANGOR

Hilman berpengalaman mentadbir kerajaan, mampu pikul tugas ADN

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 28 APR: Calon bagi kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Mohd Hilman Idham, mampu memikul tugas dan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) sekiranya menang kerusi itu nanti.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Hilman memiliki pengalaman panjang sebagai pembantu beliau sebelum dilantik sebagai Pegawai Khas sebaik Mohamed Azmin dilantik sebagai Menteri Besar.

“Sebagai Pegawai Khas Menteri Besar, beliau banyak berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan di mana ini mengajar beliau selok belok pentadbiran kerajaan,” katanya ketika menghadiri Program Menyantuni Petugas dan Masyarakat DUN Gombak Setia (N17)
di Taman Seri Gombak, di sini, malam tadi.

Jelasnya, pemilihan Mohd Hilman sebagai calon Gombak Setia dibuat dalam satu mesyuarat Cabang Keadilan Gombak.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa mesyuarat meneliti kelayakan dimiliki Mohd Hilman.

“Saya tidak pengerusikan mesyuarat itu tetapi saya diberitahu, nama dipilih sebelum ini menolak dicalonkan kerana lebih suka menumpukan membantu kerja parti dan selepas itu barulah mesyuarat meneliti nama beliau.

“Inilah uniknya KEADILAN, kita ada ramai yang sanggup berjuang tanpa mengejar kedudukan atau pangkat,” katanya.

=EZY=