Categories
PBT SELANGOR

Jom ke Shah Alam Quran Hour Sabtu ini

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 9 APR: Orang ramai dijemput hadir ke program Shah Alam Quran Hour yang akan diadakan, pada Sabtu ini, di Laman Budaya Taman Tasik Shah Alam mulai jam 8 pagi.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, program ilmu itu bertujuan melahirkan masyarakat Shah Alam yang celik al-Quran.

“Ia sejajar dengan matlamat MBSA untuk mewujudkan masyarakat madani beradab, menjunjung tinggi nilai kemanusiaan dan berkeperibadian mulia, di Shah Alam.

“Melalui program ini, orang ramai yang hadir akan diperdengarkan bacaan al-Quran oleh wakil agensi dan jabatan serta penceramah jemputan Ustaz Zul Ramli M Razali.

“Antara surah yang akan diperdengarkan adalah Al-Fatihah, Al-Baqarah dan Al-Hujurat,” katanya.

Program itu juga mendapat kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, agensi, pejabat kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).