Categories
NASIONAL

PRU14: Hapus penipuan jika ramai keluar mengundi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 9 APR: Penipuan pilihan raya boleh diatasi jika peratusan keluar mengundi, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mencapai 90 peratus.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara penipuan yang sedang dijalankan adalah mengadakan persempadanan semula bagi memberi kelebihan kepada Umno-Barisan Nasional (BN).

“Saya betul-betul merayu kerana sempadan baru ini bertujuan merampas selangor, justeru negeri ini antara yang terkasan. BN ingin rampas, jadi kita perlu kerja kuat.

“Jika keluar undi mencapai 90 peratus, penipuan akan tenggelam tetapi jika keluar mengundi hanya 50 hingga 60 peratus, maka penipuan itu akan memainkan peranan penting,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, rakyat Selangor perlu menjalankan peranan masing-masing dengan mengajak ahli keluarga dan kenalan untuk mengundi, pada PRU14.

Katanya, PRU kali ini juga amat penting kerana ia akan menentukan masa depan negara.

“Saya berharap orang Selangor keluar (undi) beramai-ramai kerana inilah penentunya untuk mencipta sejarah. Tuan-tuanlah pencipta sejarah menjatuhkan Umno-BN,” katanya.