Categories
SASTERA

Kangen bubur sum sum nenek

Oleh Nurimas SN

SAYA teruja sungguh hari ini. Ibu dan abah dah janji nak balik kampung. Nenek pun dah saya bagi tahu. Bukan main sukanya dia dengar saya dan keluarga nak balik. Sudah dua tahun kami tak balik beraya di kampung.

Kali ini abah dapat cuti panjang jadi kami balik awal. Sempatlah berpuasa seminggu di kampung nenek yang kuat dengan cara hidup tradisi. Saya tak ingat lain, melainkan makanannya yang pelbagai dan lazat-lazat itu. Satu saja rahsianya – nenek gunakan kaedah lama untuk buat kuih-muih dan makanannya.

Kami tiba menjelang waktu bebuka. Gembiranya hati bukan kepalang. Nenek awal-awal lagi turun tanah sambut kami. Aku kucup pipi nenek yang agak kedut tapi masih licin. Nenek dakap penuh kasih dan sayang, maklumlah cucu perempuannya.

“Nenek masak apa kat Noya hari ini?” Saya terus aju soalan yang lama terpendam. Dalam kepalaku terbayang senarai menu ‘mengancam’ yang nenek selalu hidangkan. Nenek tak pernah beli makanan macam orang sekarang. Semua dia masak sendiri. Biasanya dua tiga jenis juga.

Adat orang kampung ini, masa berbuka jarang makan nasi. Mereka makan juadah lain dulu seperti karipap, bubur candil, kolak ubi dan sebagainya. Kadang-kadang cendol pun nenek buat. Tapi yang paling saya mengidam ialah bubur sum sum. Hmm… menitik air liur bila bayangkan lembut bubur sum sum nenek.

“Tak cakap awal, tak adalah nenek buat apa-apa,” ujarnya. Saya cemberut, buat emoji comel, sengaja nak bermanja dengan nenek. Nenek jemput kami naik. Pak Su dan anak-anaknya pula riuh menyambut kami. Nenek tinggal bersama Pak Su, Mak Su, Ila dan Mimi, anak-anak mereka yang hampir sebaya dengan saya. Kami berbual-bual bertanya khabar dan cerita masing-masing sementara ibu membantu nenek di dapur. Ada setengah jam lagi sebelum saya dapat jamah air tangan nenek.

Sampai masa berbuka. Lima enam jenis masakan nenek hidangkan. Mak Su pun pandai masak juga. Saya bilang-bilang, karipap putar, pengat keladi, air katira, ayam masak kicap, sayur bening pucuk paku dan kuih talam. Wah, sungguh menyelerakan! Tapi…erm, saya tak nampak pun bubur sum sum. Sedikit kecewa. Semua sudah menyuap ke mulut masing-masing. Saya tidak tahu nak mulakan dengan apa? Nenek pandang saya sedari tadi.

“Makanlah Noya, tak suka dah masakan nenek?” usik nenek. Saya paling ke muka nenek sambil memuncungkan bibir. Nenek senyum. Nenek walaupun agak tua tapi masih manis mukanya. Geram saya tengok.

“Nenek tau lah, kangen bubur sum sum kan?” Saya angguk-angguk manja. Ibu dan abah jeling-jeling saja. Mereka memang tahu juadah nenek kegemaran saya.

“Tu lah, tak bagi tau nak balik. Bubur sum sum bukan boleh buat sepuluh minit,” nenek tambah bumbu jengkel saya.

“Tak apa, hari ni makan pengat keladi dulu, esok nenek buat bubur sum sum,” janji nenek. Saya menjerit kegirangan macam budak kecil. Lalu ambil kuih talam dan suap ke mulut nenek tanda terima kasih. Riuh orang keliling lihat gelagat saya. Ha ha!

Saya rasa kuih talam nenek. Orang Jawa hidang kuih talam dengan bekas-bekas sekali. Lemak berkrim kuih talam nenek dengan aroma pandan asli menghuni hidung. Saya rasa pula pengat keladi minyak yang likat santannya. Memang terbaiklah masakan nenek. Walaupun bubur sum sum tak ada, tetapi menu hari ini memang sedap.

Apa lagi dengan air katira yang menyudahi diet saya, memang enak. Campuran pelbagai makanan seperti kurma dan kismis, susu, air mawar dan lain-lain cukup sebati. Saya jeling juga ayam masak kicap dan sayur bening pucuk paku, yang akan jadi sasaran selepas solat maghrib atau terawih nanti.

Tepat jam 4 petang, nenek memulakan urusan dapurnya. Kali ini saya turun padang membantu nenek. Rasanya saya kena belajar buat sendiri makanan turun-temurun kegemaran saya itu. Iyalah mana tahu, nenek pun sudah tua, ibu dan abah memang tak tahu buat masakan ini, desis saya dalam hati.

“Bubur sum sum ni kena guna beras terbaik,” nenek memulakan kerja. Dia ambil beras, mana yang ada bubuk nenek buang. Nenek letak dalam lesung kayu dan tumbuk perlahan-lahan dengan alu. Orang sekarang beli tepung beras siap di kedai saja, nenek tak.

“Biar Noya tumbuk, nek,” saya pelawa tenaga. Nenek acu alu dan saya mula buat seperti yang nenek ajar. Usai beras ditumbuk, nenek ayak dengan penapis untuk pastikan tepung benar-benar bersih.

“Ha, tepung beras kena bancuh dengan santan kelapa dan sedikit garam,” nenek tunjuk cara. Kelapa, nenek parut dan perah sendiri, bukan santan segera. Kemudian nenek panaskan di dapur. Saya tolong kacau apabila nenek sediakan kuahnya.

“Ni gula melaka, boleh guna juga gula merah. Campur gula pasir, air dan garam sedikit. Daun pandan ni untuk tambah harum,” nenek bercerita macam chef  selebriti pula. Mudah saya faham. Nenek tenggek adunan gula dan air atas dapur kompor. Aroma harum mula menjelajah pelipis hidung dan menggugah iman saya.

Lebih sejam juga kami siapkan juadah bubur sum sum. Kemudian Mak Su dan mama pula ambil giliran. Entah apa yang mereka nak masak, saya dah tak kisah. Bagi saya, ada satu ini pun dah cukup. Lama benar tak makan bubur sum sum nenek yang tidak kental sangat dan berasa di lidah. Menjelang azan maghrib, saya dah tak sabar nak jamah bubur sum sum idaman. Lepas mandi, saya dengar bunyi riuh. Saya lihat  Pak Su bergegas keluar. Saya menerpa ke ruang dapur. Saya lihat abah riba nenek yang pucat lesi.

“Nenek! Abah, apa yang terjadi?” Saya berteleku depan abah. Muka nenek saya belek-belek. Tiada respons. Dada nenek yang pipih pegun. Saya letak jari di hidung nenek. Tiada tanda-tanda pernafasan. Ya, Allah! Datang seorang lelaki bersama Pak Su. Saya kenal itu Dr Mushairi, jiran nenek. Dr Mushairi keluarkan stetoskop dan periksa nenek. Dia seakan-akan doktor peribadi nenek yang tahu sejarah sakit dadanya. Dia memang larang nenek berpuasa mulanya tapi nenek yang beriya.

Semua menanti penuh debaran. Hati saya luluh kerana hampir pasti apa yang berlaku. Saya ada sedikit pengetahuan tentang ilmu pernafasan. Air mata sudah jatuh menerjuni pipi.

“Inalillahi wa inalillahi rojiun…” Dr Mushairi geleng kepala, mengesahkan kebimbangan saya. Suasana penuh dengan tangisan semua ahli keluarga saya. Nenek pergi sebelum azan maghrib bergema. Kata Mak Su, nenek rebah tiba-tiba ketika nak tumbuk sambal. Nenek cuba angkat lesung batu lalu jatuh ke lantai bersama tubuhnya. Ibu terkilan kerana belum banyak dibualkan dengan nenek, tiba-tiba takdir sampai tanpa terlewat barang sedetik.

Saya lihat bubur sum sum terakhir nenek tanpa selera ketika azan maghrib bergema. Hilang kangen saya terhadap bubur sum sum tapi kangen untuk menatap wajah nenek buat selama-lamanya. Air mata masih berbekas di pipi ketika malam kian merangkak sepi. Tidak lama kemudian, orang kampung datang berduyun-duyun mengimarahkan pemergian nenek di hujung Ramadan ini.