OLEH SYAZWANI SUFIAN
SHAH ALAM, 5 APR: Mahasiswa Pakatan Harapan (Mahasiswa PAKATAN) hari ini mendakwa 45,866 mahasiswa terkesan dengan isu penangguhan dan senaraihitam oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akibat sistem pengurusan lemah.
Exco Pemuda Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PBM), Abdul Hannaan Kahry berkata, tindakan ‘blacklist’ oleh PTPTN ke atas mahasiswa dalam tempoh terdekat selepas mereka menamatkan pengajian sebagai sesuatu yang tidak wajar kerana bebanan kos sara hidup tinggi.
“Komitmen sedia ada sudah cukup tinggi apabila mereka perlu menanggung sewa bilik sahaja mencecah RM600, minyak, tol, makanan, simpanan dan kecemasan dengan gaji ‘fresh grad’ yang rendah antara sebab mereka tidak mampu membbuat pembayaran.
“Ada juga diantara mereka memaklumkan langsung tidak mempunyai simpanan kecemasan apatah lagi menghantar wang kepada ibu bapa di kampung,” katanya ketika sidang media Mahasiswa Pakatan Harapan (PAKATAN) di Galeri PPBM HQ, Menara Yayasan Selangor, di sini hari ini.
Hannaan berkata, apabila disenaraihitamkan, rata-rata mereka tidak dapat melaksanakan tugas terutama melibatkan urusan ke luar negara.
“Ada diantara mereka terpaksa mencari kerja lain kerana tidak mampu penuhi kehendak syarikat yang memerlukan mereka menjalani latihan di negara lain.
“Selain itu, ada juga yang tidak dapat membuat pinjaman rumah atau kereta akibat tidak mampu membayar PTPTN kerana komitmen sedia ada sudah tinggi,” katanya.
Susulan itu, Mahasiswa PAKATAN menggesa kerajaan berlaku adil kepada graduan yang baru menapak dalam alam kerjaya.
“Bagaimana anak muda mahu meneruskan survival apabila terus ditekan PTPTN dan tiada bantuan Kerajaan Persekutuan dalam meringankan beban rakyat malah menambah lagi beban dengan pelbagai cukai,” tegasnya lagi.