Categories
GLOBAL

Majlis Keselamatan PBB tolak kutuk serangan Syria

NEW YORK 15 APR: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gagal mengguna pakai resolusi Russia semalam, untuk mengutuk ‘keganasan terhadap Syria oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan Perlembagaan PBB’.

Hanya Russia, China dan Bolivia mengundi menyokong draf resolusi itu. Lapan negara mengundi menentangnya sementara empat negara berkecuali.

Satu resolusi memerlukan sembilan undi menyokong dan tanpa veto oleh Russia, China, Perancis, Britain atau AS untuk diluluskan.

Sebelum ini, Russia menuntut pengundian di Majlis Keselamatan untuk mengutuk AS dan sekutunya kerana menjalankan serangan terhadap Syria.

Duta Russia, Vassily Nebenzia memaklumkan majlis itu patut mengadakan rundingan lewat semalam, membabitkan satu resolusi Moscow untuk mengutuk keganasan dan menuntut semua negara sekutu AS tidak melakukan serangan lanjut.

SUMBER: REUTERS/ AFP