Categories
SELANGOR

MBSA: Jangan bimbang, haiwan anda selamat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 APR: Orang ramai tidak perlu bimbang dengan keselamatan haiwan peliharaan yang ingin diserahkan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi program‘Jom Serah Haiwan Anda Tak Mahu Kami Terima’.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, ini kerana haiwan yang diserahkan itu akan dihantar kepada beberapa pusat jagaan kebajikan atau dijadikan haiwan angkat kepada pemilik baru.

“Malah, MBSA juga akan membersihkan kucing dan anjing dipilih sebelum dijadikan haiwan angkat.

“Sementara orang ramai yang teringin memiliki haiwan peliharaan baru, dialu-alukan untuk melihat haiwan angkat ini ketika Program Hari Tanpa Kenderaan Shah Alam yang dijangka bermula pada 8 April,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Bermula hari ini, MBSA menganjurkan program ‘Jom Serah Haiwan Anda Tak Mahu Kami Terima’ bertujuan mengawal peningkatan populasi anjing dan kucing terbiar di sekitar Shah Alam.

Shahrin berkata, program kali kedua diadakan itu mendapat sambutan baik daripada penduduk setempat.

“Bagaimanapun, program ini hanya terbuka kepada penduduk bermastautin di kawasan pentadbiran MBSA sahaja.

“Orang ramai juga diminta membawa salinan bil elektrik, bil air atau cukai taksiran sebagai bukti pengesahan semasa membawa kucing atau anjing untuk dihantar ke stor MBSA,” katanya.

Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Persekitaran, MBSA di talian 03-55222794.