Categories
NASIONAL

Penggunaan Bahasa Melayu, semak semula perlembagaan

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA LUMPUR, 20 APR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta Datuk Seri Najib Razak supaya melihat semula pelaksanaan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan berkenaan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

Wakil Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) berkata, ia ekoran hasrat Kerajaan BN yang mahu melaksanakan sistem pendidikan negara dalam dua aliran, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris menjelang 2019.

“Maka, saya minta Najib kembali semula kepada tujuan asal perlembagaan seperti Umno-Barisan Nasional perjuangkan sebelum ini, untuk memartabatkan Bahasa Melayu kerana ia adalah bahasa rasmi negara.

“Saya juga mahu menarik perhatian Najib dan kabinet menteri kepada wasiat Raja-raja Melayu yang menetapkan bahasa kebangsaan, di Malaysia adalah Bahasa Melayu. Oleh itu, Majlis Raja-raja Melayu perlu bertindak tegas dengan menegur dan menitahkan pembatalan Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) ini.

“Permintaan kami ini bukan ‘rasis’, sebaliknya memperjuangkan hak kaum Melayu tanpa mengabaikan hak kaum lain,” katanya pada sidang media membantah DLP dan pengembalian sekolah aliran Inggeris di Sektretariat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pusat di sini, semalam.

Beliau berkata, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia tidak boleh dipertikaikan fungsi dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan.

“Kepentingannya sebagai bahasa ilmu menjadi medium pengajaran dan pembelajaran, juga membawa kepada pewartaan Akta Pendidikan 1961 (Pindaan 1996).

“Bagaimanapun, pada masa sama, bangsa lain di Malaysia bebas menggunakan bahasa ibunda mereka seperti bahasa Mandarin oleh orang Cina dan bahasa Tamil oleh orang India, manakala Bahasa Inggeris masih mendominasi bahasa perdagangan dan perindustrian negara.

“Justeru, langkah membenarkan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar dalam apa bidang sekali pun di sekolah dan institusi pengajian tinggi adalah bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Perlembagaan Malaysia yang mewajibkan semua urusan rasmi, termasuk bidang pendidikan menggunakan bahasa kebangsaan,” katanya.

Sebelum ini, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dibatalkan ekoran keburukannya besar, namun kini diteruskan dengan program sama, DLP serta ditambah cadangan baru bagi mewujudkan aliran Inggeris.