Categories
NASIONAL

Perbanyak latihan pastikan guru cekap bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Kementerian Pendidikan perlu memperbanyakkan latihan dan agihan guru yang boleh mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bagi memastikan bilangan guru yang mampu mengajar kedua-dua subjek dalam bahasa itu mencukupi.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Guru Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock berkata, langkah itu perlu bagi memastikan bilangan guru yang berkemampuan selari dengan pendekatan kerajaan yang membenarkan pengajaran kedua-dua subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris.

Katanya, setakat ini jumlah guru yang boleh mengajar kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris masih terhad.

“Sekolah yang menawarkan Dual Language Programme (DLP) perlu diberi perhatian dan (perkara itu) tidak boleh dilepaskan kepada pengurusan sekolah sahaja.

“Kementerian juga perlu memastikan ketua sekolah (guru besar/pengetua) fasih berbahasa Inggeris supaya mereka dapat menjalankan program itu tanpa kekangan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr Saedah Siraj turut menyuarakan kebimbangan berhubung kecekapan guru untuk mengajar subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris.

Beliau menyifatkan perkara itu boleh menimbulkan kekeliruan kepada pelajar sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Pada peringkat sekolah rendah, guru masih boleh menyampaikan dalam bahasa Inggeris walaupun masih kekurangan guru cekap. Masalah akan timbul di peringkat sekolah menengah yang penguasaan bahasa Inggeris diperlukan,” katanya.

Presiden Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia, Prof Dr Ganakumaran Subramaniam berkata, langkah pengajaran dwibahasa melalui DLP boleh ditambah baik supaya penguasaan kedua-dua bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris pelajar dapat ditingkatkan.

“Jika pelaksanaan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris atau bahasa kebangsaan menjadi pilihan pelajar dan ibu bapa, maka keputusan jumlah kelas dwibahasa ini seharusnya ditetapkan oleh pihak berkepentingan sekolah,” katanya.

Presiden, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan pula berharap kerajaan mempertimbang dan memperhalusi pendekatan yang ada kerana ia dikhuatiri memberi kesan jurang dan pemisahan perolehan ilmu.

“Apakah sudah sedia ada tenaga pengajar yang mencukupi untuk tujuan itu? Apakah dapat dipastikan wujud persaingan sihat dalam sekolah berkaitan?” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan mengambil pendekatan membenarkan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah, namun pada masa sama pengajaran subjek itu dalam bahasa kebangsaan tetap diteruskan.

Katanya, pendekatan jalan tengah itu diambil kerana ada rakyat Malaysia menyokong penggunaan bahasa Inggeris bagi pengajaran mata pelajaran terbabit dan ada yang menentangnya.

Program DLP, yang dilaksanakan di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan sejak 2016, memberi pilihan kepada sekolah yang layak untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selain daripada bahasa Malaysia bagi mata pelajaran Matematik, Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penggunaan Bahasa Melayu, semak semula perlembagaan

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA LUMPUR, 20 APR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta Datuk Seri Najib Razak supaya melihat semula pelaksanaan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan berkenaan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

Wakil Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) berkata, ia ekoran hasrat Kerajaan BN yang mahu melaksanakan sistem pendidikan negara dalam dua aliran, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris menjelang 2019.

“Maka, saya minta Najib kembali semula kepada tujuan asal perlembagaan seperti Umno-Barisan Nasional perjuangkan sebelum ini, untuk memartabatkan Bahasa Melayu kerana ia adalah bahasa rasmi negara.

“Saya juga mahu menarik perhatian Najib dan kabinet menteri kepada wasiat Raja-raja Melayu yang menetapkan bahasa kebangsaan, di Malaysia adalah Bahasa Melayu. Oleh itu, Majlis Raja-raja Melayu perlu bertindak tegas dengan menegur dan menitahkan pembatalan Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) ini.

“Permintaan kami ini bukan ‘rasis’, sebaliknya memperjuangkan hak kaum Melayu tanpa mengabaikan hak kaum lain,” katanya pada sidang media membantah DLP dan pengembalian sekolah aliran Inggeris di Sektretariat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pusat di sini, semalam.

Beliau berkata, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia tidak boleh dipertikaikan fungsi dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan.

“Kepentingannya sebagai bahasa ilmu menjadi medium pengajaran dan pembelajaran, juga membawa kepada pewartaan Akta Pendidikan 1961 (Pindaan 1996).

“Bagaimanapun, pada masa sama, bangsa lain di Malaysia bebas menggunakan bahasa ibunda mereka seperti bahasa Mandarin oleh orang Cina dan bahasa Tamil oleh orang India, manakala Bahasa Inggeris masih mendominasi bahasa perdagangan dan perindustrian negara.

“Justeru, langkah membenarkan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar dalam apa bidang sekali pun di sekolah dan institusi pengajian tinggi adalah bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Perlembagaan Malaysia yang mewajibkan semua urusan rasmi, termasuk bidang pendidikan menggunakan bahasa kebangsaan,” katanya.

Sebelum ini, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dibatalkan ekoran keburukannya besar, namun kini diteruskan dengan program sama, DLP serta ditambah cadangan baru bagi mewujudkan aliran Inggeris.

Categories
NASIONAL

ABIM gesa program DLP dimansuhkan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 JAN: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa Kerajaan Persekutuan memansuhkan program Dwibahasa atau Dual-Languange Program (DLP).

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, DLP akan menjadi satu lagi simbol kegagalan selepas Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) selain menganiaya pendidik, ibu bapa dan murid.

“Program ini akan dilihat melahirkan kasta dalam pendidikan apabila murid dibentuk dalam satu acuan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, senario itu adalah menifestasi kepincangan dalam program DLP sehingga melahirkan keresahan ibu bapa.

“Kami mahu Kementerian Pendirikan fokus kepada usaha kukuh Bahasa Inggeris menerusi pemantapan dan kemas kni pembelajaran Bahasa Inggeris.

“Bukan pengajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam Bahasa Inggeris,” katanya.

Sebelum ini, sekumpulan ibu bapa di sebuah sekolah di Petaling Jaya memfailkan tindakan undang-undang mengakibatkan program DLP ditangguhkan.

Categories
KENYATAAN MEDIA

ABIM gesa mansuh program DLP 2019

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada berita penangguhan Program Dwibahasa atau Dual-Languange Program (DLP) di SJK (T) Vivekananda ekoran dari tindakan Mahkamah yang diambil oleh ibu bapa murid kerana program tersebut dilihat akan menghapuskan pengajaran dalam bahasa Tamil.

Senario yang berlaku ini adalah satu manifestasi kepada kepincangan yang berlaku dalam program DLP sehingga melahirkan keresahan ibu bapa terhadap pendidikan bahasa ibunda.

Justeru ABIM menggesa agar pihak Kementerian Pendidikan kembali fokus kepada usaha mengukuhkan Bahasa Inggeris menerusi pemantapan dan pengemaskinian pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah dan bukan menerusi pengajaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam Bahasa Inggeris.

Pengukuhan kurikulum Bahasa Inggeris boleh dilaksanakan berdasarkan ‘Common European Framework of Reference for Languages’ (CEFR) yang mana dikatakan sesuai untuk penutur Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, bahkan program-program berasaskan Highly Immersive Program yang lebih praktikal sifatnya boleh dilaksanakan.

Di samping itu pengetahuan pedagogi kandungan atau _‘pedagogical content knowledge’ (PCK)_ disiplin bidang Bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan dalam kalangan guru-guru bahasa Inggeris.

Pelaksanaan DLP tidak hanya akan menyambung kegagalan PPSMI yang terbukti secara kajian akademiknya, bahkan juga merupakan satu penganiayaan terhadap pelajar-pelajar, ibu bapa serta warga pendidik secara keseluruhannya.

Program ini juga akan melahirkan kasta dalam pendidikan apabila para murid tidak dibentuk dalam satu acuan pendidikan kebangsaan yang sama.

Maka, ABIM menggesa agar pihak kerajaan untuk memansuhkan program DLP berkuatkuasa tahun hadapan dan kembali semula kepada landasan dasar bahasa kebangsaan dalam pendidikan kebangsaan yang semakin terpesong melalui DLP.

Mohamad Raimi Ab Rahim
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia ABIM

Categories
NASIONAL

DLP ganti PPSMI, satu program gagal diperkenalkan kerajaan?

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Program Dwibahasa (DLP) didakwa satu program diperkenalkan kerajaan sebagai ganti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tetapi sekadar menggunakan perkataan baru.

Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan berkata, ia menjadi persoalan apabila Menteri Pendidikan gagal memberi penerangan lengkap berhubung perkara dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat dan ia amat mengecewakan.

“Seperti diketahui, PPSMI ialah sebuah dasar manakala DLP hanya sebuah program dan fakta ini diakui sendiri oleh menteri, namun beliau gagal menerangkan bagaimana kelemahan serta kegagalan PPSMI sudah diperhalusi serta dperbaiki sebelum DLP diperkenalkan.

“Menteri juga gagal menerangkan bagaimana satu dasar gagal diperkenalkan tanpa sebarang perubahan dalam bentuk sebuah program termasuk gagal menerangkan bagaimana sebuah program menjadi lebih hebat daripada sebuah dasar.
“Sebuah program haManivanan-Gowin-4anya boleh dinaik tarafkan jika ia berjaya, namun sebuah dasar tidak boleh mengalami penurunan taraf dan menjadi program, maka ini dengan jelas membuktikan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan sedang melakukan percubaan memperkenalkan PPSMI dengan menggunakan perkataan baru,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Secara jelas, beliau berkata, disebabkan DLP sebuah program, maka sekolah, guru besar dan ibu bapa mempunyai pilihan untuk mengikutinya dengan kerajaan tidak boleh
melindunginya dalam kerangka ‘pilihan’ kerana dengan menggunakannya, pihak berkuasa boleh mengecualikan diri mereka sekiranya ia gagal.

Manivanan berkata, kenyataannya itu selaras penerangan Kementerian Pendidikan melalui Draf Versi 1.0 berhubung program berkenaan.

Antara terkandung dalam draf itu ialah “….murid tidak dibenarkan menarik diri daripada DLP kerana keputusan itu adalah berdasarkan kemahuan ibu bapa manakala ibu bapa digalakkan membuat pertimbangan serius berdasarkan kesediaan murid dan berpandukan khidmat maasihat sekolah sekiranya perlu…..”

Beliau berkata, perkataan pertimbangan serius yang dihitamkan menunjukkan DLP ialah program mempunyai elemen tegas dan selepas memilihnya, pelajar tiada pilihan tetapi perlu terus mengikutinya walaupun mereka tidak dapat menguasai atau memahami subjek berkenaan.

“Selain daripada memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris, saya juga menekankan kerajaan wajar memperkasakan bahasa ibunda.

“Disarankan, kerajaan mempunyai kemahuan politik yang benar dan ikhlas memperkasakan bahasa ibunda lain seperti Mandarin, Tamil serta yang lain seperti Arab,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

DLP jelmaan PPSMI, lemahkan Bahasa Melayu

Masih ramai ibu bapa tidak menyedari Program Dwi Bahasa (DLP) adalah jelmaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Kesannya, pelajar jadi mangsa kekeliruan kepada perubahan dasar pembelajaran.

Categories
NASIONAL

DLP jelmaan PPSMI, lemahkan Bahasa Melayu

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Kerajaan Persekutuan diingatkan tidak memperdayakan rakyat dengan percubaan mengembalikan Pembelajaran dan Pengajaran Sains Matematik dan Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimansuhkan selepas mendapat bantahan pelbagai pihak.

Pengerusi Gerakan Mansuh PPSMI, Profesor Emeritus Dr Shaharir Mohamad Zain, berkata percubaan itu dibuat dengan melaksanakan Program Dwi Bahasa (DLP) di 300 buah sekolah terpilih sebelum dilaksanakan di sekolah-lain.

DLP“Walaupun Kementerian Pendidikan mengumumkan tiada paksaan sekolah melaksanakan dasar ini tetapi kami diberitahu beberapa sekolah ini dipaksa melaksanakan dengan menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik iaitu sama dengan PPSMI, tiada konsep dwibahasa itu.

“300 sekolah dipilih itu merupakan sekolah elit dengan mempunyai keputusan peperiksaan cemerlang sekaligus sudah tentu mencerminkan kejayaan dasar DLP ini,” kata Dr Shaharir.

Beliau turut melahirkan keyakinan, sekiranya tidak ditentang Kementerian Pendidikan lambat laun memasukkan DLP ini sebagai dasar wajib yang perlu diikuti sekolah dengan menjadikan keputusan cemerlang dicapai 300 sekolah terbabit sebagai contoh.

Dr Shahrir turut menyamakan tindakan itu sebagai ‘peludah bahasa’ ekoran tindakan itu merupakan tindakan ‘melemahkan’ Bahasa Melayu itu sendiri.

Katanya lagi, sebelum ini pihak beliau mengadakan beberapa perbincangan dengan Kementerian Pendidikan tetapi sehingga hari ini dasar DLP masih diteruskan di sekolah-sekolah.

“Sekiranya mereka masih tidak menjawab, kita adakan perhimpunan besar-besaran pada 26 Mac nanti di ibu kota Kuala Lumpur,” katanya lagi.

Pelancaran dihadiri tiga sasterawan negara iaitu Datuk Dr Mohd Anwar Ridhwan, Prof Dr Muhammad Salleh serta Datuk Baharuddin Zainal itu turut dimeriahkan dengan beberapa acara sampingan diantaranya persembahan nyanyian dan deklamasi sajak.

Selain tiga sasterawan negara, turut kelihatan hadir, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad, wakil Angkatan Belia Islam dan pelbagai organisasi bukan kerajaan (NGO) lain.

EZY

Categories
BERITA UTAMA

Kenapa Program Dwibahasa (DLP) ditentang?

Program Dwibahasa (DLP) diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2016 pada tahun lalu.

Tidak lama kemudian ada kumpulan tertentu menyatakan rasa curiga dan kurang senang terhadap cadangan yang dilihat sebagai cubaan menghidupkan semula pelaksanaan dasar yang pernah dimansuhkan sebelum ini.

Berikut sedikit sebanyak maklumat mengenai DLP sebagai panduan:

Apakah DLP?

DLP adalah projek perintis dicadangkan Kementerian Pelajaran Malaysia yang bertujuan untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Dilaksanakan mengikut Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) ia dilakukan di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan di bawah kelolaan kementerian.

Sebanyak 300 sekolah terlibat dalam projek berkenaan.

Adakah semua sekolah perlu laksanakannya?

DLPMenurut maklumat kementerian, sekolah yang layak diberi pilihan melaksanakan DLP bagi sesi pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris (selain subjek Bahasa Malaysia), iaitu matematik, sains, teknologi maklumat dan komunikasi, serta reka bentuk dan teknologi.

Untuk pelaksanaan rintis DLP, subjek yang terlibat ialah matematik dan sains untuk murid tahun satu, tahun empat dan tingkatan satu.

Apakah matlamat DLP?

Menurut keterangan kementerian DLP dilaksanakan untuk menyokong penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris melalui pendedahan tambahan secara tidak langsung.

Dengan pengukuhan itu, kata kementerian, seseorang murid memiliki akses lebih luas terhadap penerokaan ilmu untuk bersaing di peringkat global.

Turut dijadikan hujah, DLP juga meningkatkan kebolehpasaran murid di alam pekerjaan.

Sesebuah sekolah diberi pilihan untuk melaksanakan DLP atau sebaliknya. Sekolah yang berminat dan memenuhi syarat ditetapkan boleh membuat permohonan rasmi kepada pejabat pendidikan daerah (PPD) masing-masing.

Apakah syarat/kriteria untuk melaksanakan DLP?

Sekolah memiliki sumber (buku teks, bahan rujukan, bahan bantu mengajar dan sebagainya) yang mencukupi.

Pengetua/guru besar dan guru bersedia melaksanakan DLP

Pihak sekolah perlu bersedia bekerjasama dengan PPD dan jabatan pendidikan untuk jangka panjang dan pendek.

Mendapat permintaan dan sokongan daripada ibu bapa.

Persetujuan mestilah secara bertulis.

Pencapaian Bahasa Melayu mestilah sama atau menyamai pencapaian purata kebangsaan subjek Bahasa Melayu.

Pelaksanaan DLP

Setiap kelas mesti mempunyai sekurang-kurangnya 15 murid tanpa perlu menjejaskan bilangan kelas sedia ada.

Kelas itu pula perlu menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya untuk pengajaran dan pembelajaran subjek yang terlibat.

Apakah subjek yang terlibat?

Sekolah rendah:

Dunia Sains dan Teknologi Tahun 1
Matematik Tahun 1
Sains Tahun 4
Matematik Tahun 4
Sekolah menengah:

Sains Tingkatan 1
Matematik Tingkatan 1
Taksiran

Semua peperiksaan awam bagi subjek sains dan matematik akan disediakan dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris mulai 2016.

Pentaksiran sekolah bagi subjek yang terlibat dalam program DLP perlu disediakan dalam bahasa pengantar yang digunakan.

Bolehkan pengecualian diberikan?

Memetik maklumat di laman sesawang Kementerian Pelajaran, sesebuah sekolah yang tidak berminat atau tidak bersedia mengambil bahagian dalam DLP perlu menulis surat secara rasmi kepada PPD masing-masing “dalam tempoh lima hari dari tarikh surat (berkaitan) berkuat kuasa”.

Mengikut semakan surat berkenaan bertarikh 3 Disember 2015, bermakna pengecualian perlu dibuat selewat-lewatnya 8 Disember 2015.

Salinan surat berkenaan perlu dikemukakan kepada pengarah jabatan pendidikan negeri dan pengarah bahagian pengurusan sekolah harian.

Mengapakah DLP dibantah?

Bagi pengkritik DLP dilihat sebagai satu cubaan mengembalikan cadangan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains Matematik dan Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimansuhkan secara rasmi pada 2012.

Siapakah yang membantah DLP?

Selain orang perseorangan sebuah pertubuhan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) menjadi kumpulan pendesak utama menolak pelaksanaan DLP. Turut membuat kenyataan sebelum ini ialah persatuan penulis dan parti politik.

GMP dianggotai sasterawan-sasterawan negara, penulis, profesor, pejuang bahasa dan orang persendirian.