OLEH HAFIZAN TAIB
PETALING JAYA, 26 APR: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama disaran memberi tumpuan kepada diri dan keupayaan calon dalam menawarkan perkhidmatan kepada mereka.
Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi DUN berkenaan, Jamaliah Jamaluddin berkata, tumpuan seharusnya tidak dijuruskan kepada latar belakang keluarga dalam membuat sebarang penilaian terhadap kriteria seseorang calon.
“Apa patut pengundi fokuskan ialah siapa saya dan apa ingin saya tawarkan demi kebaikan mereka.
“Apabila diri kita diangkat sebagai calon dalam pilihan raya umum (PRU) maka kita harus memberi tumpuan terhadapa apa program dan sumbangan boleh kita tawarkan kepada rakyat selaku pengundi,” katanya kepada media berhubung dirinya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) nanti.
Anak muda berusia 29 tahun itu berkata, beliau gembira terplih sebagai calon dan berharap dapat turut serta merubah negara ini menjadi lebih baik demi masa depan generasi akan datang.
“Saya rasa sistem pemilihan dipraktikkan adalah baik tetapi ia berkaitan institusi yang perlu diubah iaitu menjatuhkan kerajaan korup,” katanya merujuk pentadbiran di Putrajaya diterajui Barisan Nasional (BN).
Jamaliah akan berdepan calon dari BN, Chng Soon Chau dalam PRU14 yang berlangsung, pada 9 Mei depan
Jamaliah menjadi tumpuan umum apabila dirinya dikaitkan sebagai cucu kepada pejuang nasionalis kiri, Shamsiah Fakeh.