Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 200 individu terima Vaksin Selangor di Bandar Utama

PETALING JAYA, 6 NOV: Seramai 230 individu diberi suntikan pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama setakat jam 2 petang tadi.

Wakil Rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata program yang diadakan di Dewan Komuniti Bandar Utama 3 itu masih menerima kehadiran orang awam secara terus sehingga jam 5 petang ini.

“Kita menyediakan 1,000 dos vaksin dan setakat ini lebih 250 pendaftaran diterima… saya alu-alukan penduduk sekitar Bandar Utama atau luar kawasan yang belum divaksin hadir ke sini hari ini.

“Saya berharap dengan inisiatif disediakan Kerajaan Negeri sedikit sebanyak membantu mempercepatkan vaksinasi bukan hanya kepada remaja tetapi setidaknya mampu sampai kepada kadar hampir semua penduduk divaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan ke program Selvax Remaja DUN Bandar Utama di sini hari ini.

Jamaliah berkata peratusan pendaftaran vaksin bagi program hari ini agak rendah berikutan rata-rata penduduk sudah divaksinasi.

“Secara keseluruhan DUN Bandar Utama telah menjalankan lebih 10 program vaksinasi dan kita yakin majoriti penduduk telah pun divaksin,” katanya.

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 1,000 dos Vaksin Selangor untuk penduduk Bandar Utama esok

PETALING JAYA, 5 NOV: Hampir 1,000 dos vaksin Covid-19 disediakan bagi program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama esok.

Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata selain remaja keutamaan pemberian pelalian kepada penduduk kawasan Bandar Utama dan warga Selangor khususnya.

“Orang ramai yang masih belum menerima vaksin boleh membuat pra-pendaftaran menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Kita harap pengambilan vaksin ini dapat tingkatkan imuniti kelompok dan memberi perlindungan kepada diri sendiri juga orang sekeliling,” katanya selepas membuat tinjauan naik taraf fasiliti padang SS20/5, Damansara Kim di sini hari ini.

Menurut Jamaliah lebih 250 pendaftaran sudah diterima setakat ini terutama kalangan golongan remaja.

Program akan berlangsung bermula jam 9 pagi hingga 5 petang di Dewan Komuniti Bandar Utama 3.

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Empat bulan tunggu janji temu, bapa lega anak OKU dapat vaksin

PETALING JAYA, 6 SEPT: Seorang bapa lega apabila penantian selama empat bulan untuk anaknya dari kategori orang kelainan upaya (OKU) sindrom down mendapat vaksin Covid-19 berakhir selepas menerima suntikan semalam.

Menurut Prof Madya Dr Abdul Rahman Chik, 67, anak perempuanya Raihanah, 36 menerima suntikan pelalian menerusi program vaksin bergerak di Kampung Sungai Kayu Ara anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama dan Pusat Kesihatan Daerah Petaling

Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada penerima ketika program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Sekolah Rendah Agama Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya pada 5 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya sudah memohon vaksin untuk Raihanah sejak Jun lalu namun hampa kerana tidak mendapat tarikh janji temu. Selepas mendapat tahu ada program ini, saya datang dan Raihanah terus dibenarkan mendapat vaksin, syukur kerana akhirnya usaha serta penantian kami berakhir.

“Vaksin ini sebagai perlindungan lebih-lebih keadaan Raihanah memerlukan kami membawanya ke mana sahaja, kalau tidak lengkap vaksin tidak dibenarkan atas faktor keselamatan,” katanya ditemui di sini, semalam.

Ida Salimai, 52

Seorang warga Indonesia, Ida Salimai, 52, berterima kasih kepada PKM DUN Bandar Utama yang menyediakan inisiatif berkenaan yang memudahkan golongan kurang berkemampuan.

“Saya perlu lengkap vaksin supaya boleh kembali bekerja sebagai pembantu rumah, sudah beberapa bulan tidak kerja…ada juga saya ke pusat vaksin tetapi gagal disuntik.

“Semoga bila saya lengkap vaksin nanti boleh bekerja dan cari rezeki seperti biasa,” katanya berasal dari Bali.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Bandar utama sedia bantuan susu, lampin pakai buang

SHAH ALAM, 26 JULAI: Penduduk terjejas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama yang memerlukan susu bayi dan lampin pakai buang boleh memohon daripada Pusat Wanita Berdaya (PWB) kawasan itu.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama berkata pihaknya bekerjasama dengan PWB Bandar Utama menyediakan bantuan itu kepada mereka yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Jamaliah Jamaluddin PWB mempunyai kuota tertentu dan jika jumlah permohonannya melebihi maka pejabatnya akan menyediakan bantuan tambahan.

“Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan susu dan lampin pakai buang untuk anak masing-masing,” katanya di sini, semalam.

Mereka yang ingin memohon boleh mengisi borang dalam talian menerusi pautan https://tinyurl.com/d5xvnc8b atau menghubungi PWB Bandar Utama di talian 017-578 1102 atau di Facebooknya.

Categories
SELANGOR

Pengundi DUN Bandar Utama disaran fokus kebolehan calon

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 26 APR: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama disaran memberi tumpuan kepada diri dan keupayaan calon dalam menawarkan perkhidmatan kepada mereka.

Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi DUN berkenaan, Jamaliah Jamaluddin berkata, tumpuan seharusnya tidak dijuruskan kepada latar belakang keluarga dalam membuat sebarang penilaian terhadap kriteria seseorang calon.

“Apa patut pengundi fokuskan ialah siapa saya dan apa ingin saya tawarkan demi kebaikan mereka.

“Apabila diri kita diangkat sebagai calon dalam pilihan raya umum (PRU) maka kita harus memberi tumpuan terhadapa apa program dan sumbangan boleh kita tawarkan kepada rakyat selaku pengundi,” katanya kepada media berhubung dirinya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) nanti.

Anak muda berusia 29 tahun itu berkata, beliau gembira terplih sebagai calon dan berharap dapat turut serta merubah negara ini menjadi lebih baik demi masa depan generasi akan datang.

“Saya rasa sistem pemilihan dipraktikkan adalah baik tetapi ia berkaitan institusi yang perlu diubah iaitu menjatuhkan kerajaan korup,” katanya merujuk pentadbiran di Putrajaya diterajui Barisan Nasional (BN).

Jamaliah akan berdepan calon dari BN, Chng Soon Chau dalam PRU14 yang berlangsung, pada 9 Mei depan

Jamaliah menjadi tumpuan umum apabila dirinya dikaitkan sebagai cucu kepada pejuang nasionalis kiri, Shamsiah Fakeh.