Categories
SELANGOR

Persempadanan bakal jadi senjata makan tuan Umno-BN?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 APR: Langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan daftar pemilih persempadanan baru yang dikatakan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bakal menjadi senjata makan tuan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman, berkata beliau mendapati sambutan masyarakat di Daerah Mengundi (DM) yang dimasukkan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras begitu di luar dugaan.

“Kami agak terkejut dengan sambutan yang diberikan penduduk di sini sangat baik di mana ‘mood’ atau sentimen sokongan kepada Pakatan Harapan ditunjukkan penduduk di sini sangat-sangat dirasai dan mereka meletakkan harapan tinggi kepada kita.

“Keadaan ini sama seperti saya rasakan ketika kempen PRU-13 lalu di mana ‘mood’ serupa dapat dirasakan ketika itu dan hasilnya BN berjaya ditumbangkan di Paya Jaras ini,” katanya kepada SelangorKini di sini.

Jelasnya, pada PRU-14 kali ini sebanyak lima DM membabitkan lebih 14,000 pengundi dengan kira-kira 90 peratus pengundi Cina dipindah keluar daripada Paya Jaras.

Manakala satu DM baru di masukkan ke DUN Paya Jaras pula adalah Saujana Utama dengan melibatkan 5,522 pengundi di mana seramai 5,043 atau 91.32 peratus daripadanya adalah pengundi Melayu.

Terdahulu, Mohd Khairuddin semakin aktif mengadakan pertemuan dengan masyarakat di Saujana Utama bagi membincangkan isu setempat yang perlu ditangani untuk penduduk di situ.

Kehadiran beliau di Saujana Utama menarik perhatian penduduk setempat termasuk golongan muda yang mengharapkan pembangunan infrastruktur untuk aktivit sukan di tempat mereka.

=EZY=