Categories
NASIONAL

PAKATAN tubuh seksyen khas semak manifesto PRU14

BANGI, 24 FEB: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) menubuhkan satu seksyen khas bagi menyemak dan memformulasi semula manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), supaya dapat disesuaikan dengan keadaan semasa.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, langkah itu bagi memastikan janji PRU14 dapat dilaksanakan dengan mengambil kira kekangan yang dihadapi kerajaan sekarang.

Katanya, seksyen itu diwujudkan kerana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Pengerusi PAKATAN amat prihatin dengan perkara yang dijanjikan dalam manifesto pada PRU14.

“Manifesto PRU14 digubal berdasarkan fakta terhad dengan sebahagiannya tiada dalam domain umum.

“Jadi, apabila PAKATAN menjadi kerajaan, kesemua manifesto terpaksa diformulasi semula dengan versi lain selepas semua data dan fakta diteliti selain mengkaji kekangan baharu yang timbul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menutup Karnival Sukan Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara Ansara, di Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini, hari ini.

Mengulas berkenaan rundingan antara kerajaan dan Gamuda Berhad yang memegang konsesi empat lebuh raya, Amiruddin berkata, perincian lain akan diumumkan selepas kesemua perkara berbangkit diperhalusi.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pemuda AMANAH sokong had layak mengundi 18 tahun

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 JUN: Pemuda AMANAH menyokong sepenuhnya cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menurunkan hak umur layak mengundi kepada 18 tahun, berbanding 21 tahun ketika ini.

Ahli Dewan Negeri Taman Templer merangkap Ketua Pemuda, Mohd Sany Hamzah berkata, cadangan itu sangat ideal untuk dipraktik berdasarkan perubahan kematangan berfikir golongan muda.

“Cadangan itu dilihat seiring peredaran zaman yang menuntut kepada perubahan dan pembaharuan semasa.

“Rakyat khususnya golongan muda perlu menceburkan diri untuk mencorakkan masa depan negara secara tidak langsung apabila mereka mempunyai hak memilih kepimpinan yang ingin diberi mandat mentadbir negara,” katanya dalam kenyataan.

Tun Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) sebelum ini menyifatkan cadangan itu timbul selepas melihat kesedaran politik kuat ditunjukkan pengundi muda, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bulan lalu.

Mohd Sany berkata, sekarang adalah peluang terbaik untuk melaksanakan perkara itu selepas rakyat memberikan mandat kepada PAKATAN.

Katanya, mengundi pada umur 18 tahun juga bukanlah perkara asing, sebaliknya dilaksanakan di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan turut dipraktikkan negara di Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia serta Filipina.

“Malaysia sebagai nama besar di Asia Tenggara sewajarnya mengikut pembaharuan dilakukan negara jiran dan usaha mempertingkatkan kualiti demokrasi.

“Kami yakin, cadangan ini turut disokong dan didokong penuh parti lain di dalam PAKATAN dan badan bukan kerajaan yang sekian lama memperjuangkannya dalam usaha menyuburkan demokrasi di negara ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Ahli UMNO berebut mohon sertai PPBM

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 28 MEI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini menerima 1,000 permohonan keahlian baru setiap hari selepas berjaya melakar kejayaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, permohonan keahlian yang diterima kebanyakannya daripada parti UMNO.

“Masalah selepas PRU, ramai yang berminat menyertai PPBM antaranya ahli UMNO. Dahulu kurang orang nak sertai kita.

“Mereka boleh sertai selepas diisytiharkan keluar UMNO, menjadi Bebas dan menyatakan pendirian terhadap Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) sebelum permohonan mereka dipertimbangkan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PPBM, hari ini.

Pada masa sama, perdana menteri itu berkata, PPBM akan membincangkan hala tuju perjuangan baharu yang dahulunya tertumpu kepada usaha menumbangkan Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu, katanya, PPBM juga akan membincangkan keperluan mengadakan mesyuarat agong dan susunan ahli parti, termasuk menganjurkan Majlis Hari Raya di Perak dengan Menteri Besarnya, Ahmad Faizal Azumu sebagai tuan rumah.

Categories
NASIONAL

PRU14: PPBM teliti laporan penipuan SPR

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 28 MEI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan meneliti semua laporan berkenaan penipuan pilihan raya yang didakwa dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hingga menyebabkan calon mereka tewas di beberapa kerusi.

Bagaimanapun, Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap gembira dengan kejayaan dicapai Pakatan Harapan (PAKATAN) apabila berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN), pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kita terima banyak laporan berkenaan PRU membabitkan kes penipuan yang dilakukan SPR menyebabkan beberapa calon kita kalah. Ada yang menang dalam kiraan pertama tetapi datang peti undi lain, kemudian kalah.

“Ada kes undi rosak sampai 700 hingga 800 kertas. Itulah prestasi kita tidak begitu baik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPBM, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak menjangkakan peralihan kuasa berlaku secara aman tanpa keganasan selepas BN gagal memperoleh kerusi majoriti mengekalkan kuasa di peringkat persekutuan.

Pada masa sama katanya, siasatan berkenaan penipuan PRU bukan sahaja membabitkan PPBM tetapi parti lain yang berada dalam komponen PAKATAN.

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor titah pertahan perpaduan, muafakat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 14 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah terus mempertahankan perpaduan dan permuafakatan, di negeri ini.

Baginda bertitah, semua pimpinan perlu mentadbir negeri dengan penuh harapan bagi memastikan keamanan dan keselesaan rakyat Selangor terjamin.

“Beta percaya, parti yang berjaya memerintah dapat meyakinkan rakyat Selangor, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Sekarang masanya untuk wakil rakyat melupakan apa-apa yang berlaku semasa kempen pilihan raya dan hendaklah bersatu semula, bekerjasama dan membangunkan Selangor yang dikasihi ini.

“Ini bagi memastikan rakyat Selangor yang berbilang kaum terus hidup seperti sedia kala, seperti pepatah Melayu, ‘biduk lalu kiambang bertaut’,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Berhormat, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor, di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang, petang ini.

Pada masa sama, baginda turut bertitah perkembangan permuafakatan masyarakat Melayu kini semakin terhakis, ekoran perbezaan fahaman politik.

Justeru, baginda bertitah masyarakat Melayu perlu bersatu demi kelangsungan agama, bangsa dan negara dengan berpegang kepada prinsip, ‘buang yang keruh ambil yang jernih.’

“Negeri Selangor, rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum Melayu, Cina, India dan sebagainya.

“Beta berkenan selepas ini rakyat Selangor akan hidup harmoni, bersatu padu, mengamalkan sikap toleransi, hormat menghormati antara satu dengan lain baik dari segi agama dan adat resam.

“Rakyat berbilang kaum mesti menanam semangat untuk bekerjasama bagi membina Selangor yang dikasihi bagi generasi akan datang,” titah baginda.

Categories
NASIONAL

PRU14: Sabah tak diiktiraf jika ada unsur rasuah

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Sabah tidak akan diiktiraf jika didapati terdapat unsur rasuah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, hal itu kerana kerajaan memperolehi beberapa bukti perjalanan PRU14 di Sabah dimanipulasi pihak tertentu.

“Kita ada masalah di beberapa negeri untuk tubuh kerajaan seperti di Sabah dengan Warisan menang 35 kerusi tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya beberapa kali kira semula dan akhirnya mengurangkannya kepada 29 kerusi.

“Sekarang mereka ada masalah tubuhkan kerajaan dan terdapat beberapa orang lompat parti menggunakan wang,” katanya pada sidang media di Yayasan Al-Bukhary, di sini, hari ini.

Tun Mahathir berkata, berbeza dengan tindakan melompat parti ekoran prinsip, sebaliknya melompat parti kerana ditawarkan wang adalah rasuah.

Justeru katanya, kerajaan akan meneliti peruntukan undang-undang dan menjalankan siasatan terhadap isu ini.

“Ini bukan tindakan membalas dendam tetapi kita tak mahu pihak mendapatkan sokongan kerana wang.

“Jika siasatan mendapati terdapat rasuah, kita akan mohon supaya keputusan PRU itu tidak sah. Kita sedang meneliti undang-undang berkaitan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Anak Wan Azizah terharu ibu menang

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 10 MEI: Nur Ilham Anwar terharu menerima berita kemenangan ibunya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi Parlimen P100 Pandan, malam tadi.

Katanya, beliau berharap kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN) menggembirakan semua penduduk, termasuk rakyat Malaysia.

“Saya terharu dan berharap semua janji PAKATAN kepada rakyat dapat ditunaikan,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Nur Ilham hadir ke Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bersama dua lagi calon PAKATAN, iaitu Lai Wai Chong dan Izhar Hashim.

Terdahulu, Wan Azizah menang mudah di Parlimen Pandan dengan majoriti 52,543, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ia sekali gus menyaksikan Pengerusi PAKATAN itu mengalahkan Datuk Leong Kok Wee dari Barisan Nasional (BN) (12,190); Ketua Penerangan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar (8,336); Jenice Lee, Parti Rakyat Malaysia (PRM), (442) dan calon bebas, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz (73).

 

Categories
SELANGOR

Wan Azizah menang di Pandan

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 10 MEI: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menang mudah di Parlimen Pandan dengan majoriti 52,543, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya P100, Hasrolnizam Shaari mengumumkan Presiden KEADILAN itu menang dengan undi 64,733, pada jam 12.30 malam tadi.

Ia sekali gus menyaksikan Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) itu mengalahkan Datuk Leong Kok Wee dari Barisan Nasional (BN) (12,190); Ketua Penerangan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar (8,336); Jenice Lee, Parti Rakyat Malaysia (PRM), (442) dan calon bebas, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz (73).

Kerusi Pandan sebelum ini disandang Rafizi Ramli dengan majoriti 26,729 undi mengalahkan BN dan Bebas.

 

Categories
SELANGOR

SPR harus bertanggungjawab kecelaruan pembahagian saluran

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 9 MEI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bertanggungjawab terhadap kelemahan pembahagian pengundi di saluran hingga menyebabkan mereka terpaksa menunggu lama untuk menjalankan tanggungjawab.

Calon Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa berkata, tinjauannya di beberapa pusat daerah mengundi di kawasan iru mendapati terdapat sesetengah saluran mempunyai hampir 800 pengundi, sedangkan saluran lain hanya kira-kira 300 pengundi.

“Nampaknya ada niat jahat untuk menghalang pengundi membuang undi. Saya dapat aduan di Seksyen 4 dan Seksyen 6 Kota Damansara ada pengundi tidak dapat mengundi.

“Saya tidak tahu berapa ramai kerana belum dapat maklumat terperinci tetapi jumlahnya bukan seorang dua, mungkin berpuluh atau mungkin juga ratusan pengundi terbabit,” katanya kepada SelangorKini di Pusat Daerah Mengundi Masjid Kampung Merbau Sempak, di sini, hari ini.

Katanya, beliau mendapat maklumat SPR mengurangkan jumlah saluran berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Sivarasa berkata, tambah menghairankan apabila walaupun SPR menyedari pertambahan jumlah pengundi berbanding PRU-13 tetapi mereka dengan sengaja mengurangkan jumlah saliran.

Sebelum ini, pengundi di Kampung Merbau Sempak terpaksa beratur lama untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.

Categories
SELANGOR

Maria Chin tuntut penjelasan SPR

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 9 MEI: Calon Parlimen P105, Maria Chin Abdullah tiba di Sekolah Kebangsaan Taman Dato’ Haron (1) bagi mengikuti perkembangan beberapa pengundi yang gagal melaksanakan tanggungjawab walaupun berkumpul sejak jam 3 petang.

Beliau tiba pada jam 7 malam dan bertemu dengan pegawai bertugas sebelum naik ke tingkat atas bangunan utama bagi berbincang dengan pengundi.

Setakat ini, hampir lebih 30 anggota keselamatan terdiri daripada 13 orang anggota FRU sudah ditempatkan di perkarangan sekolah.

Sebelum itu, situasi tegang berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan Taman Dato’ Harun (1) apabila lebih 100 pengundi dihalang membuang undi kerana sudah jam 5 petang, sedangkan mereka masih beratur ketika itu.

Kekecohan itu menyaksikan anggota FRU terpaksa dikerah bagi mengawal keadaan.

Ketika ini, penduduk setempat masih menunggu di luar perkarangan pagar sekolah yang sudah ditutup bagi mengetahui perkembangan semasa.

Kelihatan masih terdapat pengundi yang mahu menuntut hak mereka dan berkumpul di dalam kawasan sekolah.

Categories
SELANGOR

Tidak dibenarkan mengundi, Taman Medan ‘havoc’

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 9 MEI: Situasi tegang berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan Taman Dato’ Harun (1) apabila lebih 100 pengundi dihalang membuang undi kerana sudah jam 5 petang, sedangkan mereka masih beratur ketika itu.

Kekecohan itu menyaksikan anggota polis simpanan persekutuan (FRU) terpaksa dikerah bagi mengawal keadaan.

Ketika ini, penduduk setempat masih menunggu di luar perkarangan pagar sekolah yang sudah ditutup bagi mengetahui perkembangan semasa.

Kelihatan masih terdapat pengundi yang mahu menuntut hak mereka dan berkumpul di dalam kawasan sekolah.

 

Categories
SELANGOR

SPR diperingat jangan cuba main politik

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 9 MEI: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan sehingga 750 pengundi dalam satu saluran menyebabkan pengundi di saluran terbabit terpaksa menunggu terlalu lama sebelum membuang undi.

Calon Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, keadaan ini menimbulkan kemarahan pengundi Daerah Mengundi Kampung Merbau Sempak di Masjid Kampung Merbau Sempak.

“Saya beri amaran kepada SPR jangan main politik. Pengundi berdiri lama, orang tua, Orang Kelainan Upaya (OKU) berjam-jam lamanya.

“Rakyat marah dan mereka tak akan benarkan peti undi dibawa keluar sekiranya mereka tak dapat mengundi walaupun dah beratur lama,” katanya ketika meninjau proses pengundian di sini, hari ini.

Jelasnya, SPR wajar memanjangkan tempoh mengundi sehingga kesemua pengundi yang beratur dapat mengundi.

Sementara itu, tinjauan SelangorKini mendapati orang ramai masih beratur panjang khasnya saluran dua dan tiga walaupun hanya tinggal 30 minit sebelum berakhir waktu mengundi.

=EZY=