OLEH AFIX REDZUAN
GLOBAL, 23 APR: Chelsea melangkah ke perlawanan akhir Piala FA Inggeris bertemu Manchester United apabila menewaskan Southampton 2-0 di Stadium Wembley.
Willian hampir meletakkan Chelsea di hadapan pada minit ketujuh tetapi rembatan kaki kirinya sekadar singgah ke palang gol.
Chelsea akhirnya dihadapan mendahului 1-0 selepas 26 saat babak kedua bersambung hasil jaringan Olivier Giroud.
Edin Hazard memulakan gerakan apabila menolak mudah bola ke dalam kotak penalti sebelum Giroud memperdaya lima pemain lawan bagi gol pertama perlawanan.
The Blues menggandakan jaringan pada minit ke-82 menerusi pemain gantian, Alvaro Morata selepas seminit dimasukkan bagi menggantikan Giroud.
Penyerang Sepanyol itu melompat tinggi untuk menanduk hantaran Cesar Azpilicueta bagi memastikan kemenangan 2-0 buat skuad bimbingan Antonio Conte.
Chelsea bertemu Manchester United pada 19 Mei depan di Wembley selepas The Red Devils menewaskan Tottenham Hotspur 2-1.
Dua gol menerusi Alexis Sanchez dan Ander Herrera memastikan United final sekaligus menafikan gol awal Spurs menerusi Dele Alli.
Kredit Foto: The Independant.com