OLEH NAZLI IBRAHIM
GOMBAK, 23 APR: Pengundi di Selangor perlu membuat pilihan bijak supaya tidak membawa Selangor kembali ke zaman kegelapan di era pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN).
Pegawai Khas Menteri Besar Selangor, Hilman Idham berkata, sebaliknya rakyat perlu mengekalkan pentadbiran Kerajaan Negeri hari ini yang sentiasa berkongsi kekayaan negeri untuk membantu rakyat memerlukan.
“Bila berdepan dengan pilihan raya seperti ini, kita hanya ada dua pilihan sama ada kekalkan Kerajaan Negeri yang ada hari ini atau kembali ke zaman di mana tidak ada program atau inisiatif sosial seperti ini tidak dapat kita laksanakan.
“Kita sedar betapa program seperti ini membantu jiran kita, keluarga kita dan mereka ini diupayakan supaya akhirnya rakyat bersatu padu, diperkukuhkan ukhwah dan akhirnya kita dapat membangunkan sebuah generasi dan bangsa terbela,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Ceramah Selangor Harapan Malaysia di Kampung Nakhoda, Batu Caves di sini, malam tadi.
Jelasnya, usaha membantu golongan memerlukan ini menjadi motivasi kepada Kerajaan Negeri untuk mempertahankan maruah rakyat.
Katanya, maka sebab inilah Kerajaan Negeri mengambil sikap tuntas dan istiqamah serta mengamalkan urus tadbir yang baik bagi melaksanakan program bantuan untuk rakyatnya.
“Politik ini seperti mana diungkapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor semasa sesi Pembukaan Dewan Negeri Selangor, baginda menegaskan politik ini bukanlah semata-mata pertarungan dalam pilihan raya tetapi politik ini adalah soal urus tadbir, soal bagaimana kita mengurus harta dan kekayaan negeri ini,” katanya.
=EZY=