Categories
SUKANKINI

PKNS FC yakin cipta kemenangan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 APR: PKNS FC berjaya mengatasi cabaran getir Perak sekali gus meningkatkan keyakinan pasukan menghadapi perlawanan seterusnya.

Ketua jurulatih, Datuk K Rajagopal berkata, kemenangan memberi kelebihan buat The Red Ants dan ia akan dipertahankan ketika kedua pasukan bertemu dalam perlawanan suku akhir kedua, di Ipoh nanti.

“Sesuatu perlawanan adalah berbeza mengikut situasi dan kalau menang, kita kena fikir untuk pertahankan kelebihan, kalau seri atau kalah kena fikir untuk menang ke atas lawan.

“Kita kena sentiasa berfikir dan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya.

PKNS FC berjaya mengalahkan Perak 2 – 1 dalam suku akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, di sini, Sabtu lalu.

Rajagopal berkata, pemain berjaya memberi persembahan diinginkan dan mengatasi saingan sengit The Bos Gaurus.

Kedua pasukan akan bertemu dalam suku akhir kedua di Ipoh, 21 April nanti namun tumpuan akan kembali ke Liga Super hujung minggu ini.

PKNS FC akan bertandang ke Johor bertemu Johor Darul Ta’zim, Sabtu ini, manakala Perak berdepan PKNP di Pulau Pinang, keesokannya.