Categories
NASIONAL

PRU-14 masa terbaik jadikan BN pembangkang

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 29 MAC: Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) merupakan detik terbaik untuk menobatkan Barisan Nasional (BN) sebagai pembangkang di peringkat Persekutuan.

Calon P105 Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata, perkara itu mampu direalisasikan sekiranya lebih 90 peratus pengundi keluar mengundi dan memilih Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Saya harap anda semua keluar mengundi dan mengajak lebih ramai keluar mengundi.

“Kalau dapat 90% pengundi dan mengundi Pakatan, kita berpeluang mengubah kerajaan.

“Kita ada lima tahun peluang untuk tunjuk kepada rakyat dan ini juga peluang ajar BN jadi Pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah kelompok di Jalan Aman 3/59, Kawasan Melayu semalam.

Katanya, perubahan yang ingin dilakukan pastinya mempunyai risiko dan rakyat bersedia melakukanya kerana sudah bersabar lebih 60 tahun dibawah pimpinan BN.

“Perubahan mesti ada risiko tapi peluang untuk membuat perubahan kali ini akan lebih bermanfaat kepada rakyat.

“Kita dah sabar lebih 60 tahun kerana takut tidak dapat manfaat. Rakyat faham kalau nak kehidupan lebih bagus, mesti ambil risiko,” katanya.

Sementara itu, calon N33 DUN Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri dalam ucapannya berkata prestasi cemerlang ditunjukkan PAKATAN dalam tempoh 10 tahun mentadbir membuktikan mereka mampu melakukan lebih baik berbanding yang dilakukan BN sebelum ini.

Katanya, rakyat menikmati pelbagai manfaat khususnya golongan pertengahan dan rendah disebabkan gaya urustadbir yang cekap serta berintegriti.

=EZY=