Categories
NASIONAL

PRU14: 4 keputusan SPR timbul keraguan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 13 APR: Empat keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menimbulkan keraguan ramai pihak terhadap ketelusan, kebebasan dan keadilan badan itu.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antaranya hari mengundi yang jatuh pada Rabu menyebabkan ramai tidak dapat pulang mengundi, selain tempoh berkempen selama 11 hari yang disifatkan terpendek di dunia.

Katanya, perkara itu jelas tidak adil memandangkan Umno-Barisan Nasional (BN) diizin berkempen sejak awal menggunakan media termasuk media rasmi kerajaan.

“Manakala, senarai pengundi digunakan terbatas hingga 2017.

“Segala kecanggihan teknologi dan dana RM500 juta diperuntukkan kepada SPR, apa masalah menggunakan senarai hingga Mac 2018?” soalnya.

Selain itu, Anwar turut mempersoalkan tindakan SPR yang menafikan hak ramai anak muda yang mendaftar awal tahun ini untuk mengundi.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan negara yang diundang sebagai pemerhati harus terdiri dari negara terkenal mengendali pilihan raya jujur dan adil seperti India, Indonesia, Turki dan Filipina.

“Pilihan pemerhati dari negara yang diketahui mengendali pilihan raya dengan tipu helah dicurigai mengesahkan tindakan SPR,” katanya.