OLEH NADIAH ZAMLUS
SHAH ALAM, 11 APR: Bahang Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) kian terasa, terbaru penggunaan #PulangMengundi menjadi trend dalam kalangan pengguna twitter dan juga facebook.
Tinjauan SelangorKini melalui laman twitter mendapati #PulangMengundi diguna bagi pelayar mencari rakan untuk pulang ke kampung.
Seorang pengguna twitter dikenali sebagai Anakin berkata, penggunaan #PulangMengundi itu membantu pengundi menjimatkan kos pulang ke kampung pada 9 Mei akan datang.
“Saya gembira melihat keprihatinan rakyat Malaysia yang bersatu padu untuk memudahkan satu sama lain, selain #PulangMengundi, #CarPoolGE juga menjadi carian utama di twitter dan juga facebook,” katanya.
Retweet tertinggi diperolehi pelayar twitter ‘noctowl’ iaitu sebanyak 543 retweet dalam tempoh kurang 24 jam semalam.
Noctowl dalam twitternya mencari tiga pengundi lelaki untuk pulang ke Manjung, Perak pada 8 Mei depan.
“Lokasi menunggu ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada jam 6 petang, minyak jangan lupa sama-sama kongsi,” katanya melalui twiiter berkenaan.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataannya sebelum ini turut menggesa anak muda turun mengundi selain menyarankan membuat pilihan tepat sekali gus menyelamatkan Malaysia menjadi lebih bermaruah demi masa depan.
“Saya mahu anda semua bangkit menyelamatkan negara, ini kerana negara ini perlukan anak-anak muda yang mempunyai semangat juang yang tinggi sebagai lapisan pemimpin pada masa depan,” katanya.