OLEH: NAZLI IBRAHIM
GOMBAK, 1 APR: Sekolah Agama Rakyat (SAR) adalah institusi pendidikan Islam swasta yang memainkan peranan besar dalam pembangunan kerohanian, pendidikan dan sosial masyarakat, di Selangor.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, justeru Kerajaan Negeri dalam belanjawan memutuskan menambah peruntukan SAR dari RM10 juta kepada RM24 juta.
“Memandangkan permohonan bantuan terus meningkat, Kerajaan Negeri pada tahun ini meningkatkan peruntukan dari RM10 juta kepada RM24 juta,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pengusaha SAR Selangor, di Masjid Al-Syakirin, di sini, hari ini.
Katanya, Kerajaan Negeri berharap sumbangan itu dimanfaatkan untuk memberi kemudahan dan prasarana pendidikan terbaik kepada pelajar.
Mohamed Azmin berkata, percambahan institusi pendidikan Islam swasta, di Selangor membuktikan sambutan menggalakkan yang mampu membentuk insan bukan sahaja mempunyai kelayakan profesional tetapi kekuatan akhlak dan kerohanian.
“Sememangnya menjadi tanggungjawab saya dan pimpinan Kerajaan Negeri menyediakan keperluan bagi menyemarakkan kegiatan kerohanian, pendidikan serta sosial dalam kalangan umat Islam,” katanya.