Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Tanjung Sepat sertai misi cari mangsa bot karam

SHAH ALAM, 10 OKT: Wakil rakyat Tanjung Sepat menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan yang dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki karam ketika merawai ikan di Pantai Batu Laut, kelmarin.

Borhan Aman Shah berkata operasi itu turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Balai Polis Tanjung Sepat serta nelayan setempat.

“Saya menerima taklimat bermula jam 7.30 pagi dan menyertai operasi SAR sehingga jam 12.30 tengah hari semalam. Pada operasi berkenaan, pasukan penyelam bomba melakukan pencarian sehingga 20 meter ke dasar laut, namun masih gagal menemui sebarang petunjuk.

“Oleh itu, kita akan minta bantuan daripada Tentera Diraja Laut Malaysia kerana mereka mempunyai kepakaran. Berdasarkan maklumat, kawasan dasar laut tempat dipercayai hilang itu agak dalam dan airnya lebih keruh,” katanya ketika dihubungi.

Borhan berkata kejadian malang itu berlaku apabila nelayan yang juga warga emas berusia 66 tahun merawai ikan di Pantai Batu Laut bersama anaknya.

Bagaimanapun, beliau berkata anak mangsa terselamat selepas sempat berpaut pada pelampung sebelum jeritannya meminta tolong didengari pemancing berhampiran.

“Operasi akan diteruskan sehingga jam 6 petang ini (semalam), sekiranya masih gagal ditemui, kita akan sambung pencarian esok (hari ini),” katanya memaklumkan anak mangsa kini dirawat di Hospital Banting.

Categories
AGENDA NASIONAL

APMM lancar operasi SAR kru kapal kargo hilang di perairan Selangor

SHAH ALAM, 22 OGOS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kru kapal kargo warga China yang dilaporkan jatuh ke dalam laut di perairan Selangor, kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Selangor Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata mangsa Yang Kai Kai, 29, disedari hilang kira-kira pukul 8.30 malam ketika kapal berkenaan dalam perjalanan melalui Selat Melaka dari Hong Kong ke Brazil.

“Mangsa disahkan jatuh ke dalam laut oleh nakhoda kapal berkenaan. Dia disyaki tidak memakai jaket keselamatan dan hilang pada kedudukan 17.2 batu nautika barat daya Pulau Ketam.

“Op SAR diaktifkan pada pukul 9.30 malam sebaik menerima maklumat berkaitan kehilangan mangsa daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Mohammad Rosli berkata APMM menggerakkan bot Penggalang 31 dan helikopter AS365N3 Dauphin ke lokasi kejadian dengan dibantu aset Pasukan Polis Marin iaitu PC32 dan bot RHIB3 milik Tentera Laut Diraja Malaysia untuk mencari mangsa.

Beliau berkata operasi SAR dibahagikan kepada empat sektor merangkumi kawasan berkeluasan 182 batu nautika persegi dari perairan One Fathom Bank (OFB) hingga ke Beting Angsa di perairan Selangor.

Katanya, pencarian mangsa akan diteruskan sehingga kru kapal kargo itu dijumpai.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Bakau

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika bermain di Sungai Bakau, Rawang dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 3.30 petang itu, mangsa yang bermain bersama abangnya di tebing sungai berkenaan dikatakan tergelincir sebelum dihanyutkan arus deras.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 3.49 petang.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kedalaman paras air di sungai berkenaan adalah kira-kira satu meter.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan di kawasan tebing sungai dan setakat 8 malam, mangsa masih belum ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi SAR dihentikan malam ini dan akan disambung pada pukul 8 pagi, esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keluarga Nora Anne ucap terima kasih kepada pasukan SAR

NILAI, 10 OGOS: Selepas seminggu berdiam diri, keluarga remaja perempuan berdarah campuran Perancis-Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, akhirnya tampil untuk menyatakan terima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR), pada satu pertemuan di resort berkenaan, hari ini.

Video singkat dikongsi polis pagi ini menunjukkan ibu Nora, Meabh Jaseprine Quoirin yang diiringi suami, Sebastian Marie Philipe, membuat satu kenyataan ringkas.

Video berdurasi satu minit itu menunjukkan ibu Nora dengan genangan air mata menyatakan penghargaan kepada pasukan SAR yang bertungkus lumus mencari anaknya sejak hari dia dilaporkan hilang.

“Selamat pagi semua. Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada setiap anda, kami mengetahui anda mencari Nora siang dan malam.

“Kami melihat anda bekerja kuat, juga berdoa untuk kami, bersama-sama kami. Kami tahu anda mengorbankan masa terutama menjelang perayaan istimewa ini (Aidiladha) untuk bersama-sama kami di sini, ia sangat bermakna kepada kami.

“Kami amat bersyukur atas setiap yang anda lakukan untuk kami, untuk semua orang di sini dan semua orang yang membantu dan tidak berada di sini,” katanya.

Difahamkan perjumpaan dengan pasukan operasi SAR itu diadakan di resort berkenaan. Video itu dirakamkan oleh polis dan dikongsi dengan media.

Operasi SAR memasuki hari ketujuh hari ini, yang diperkuatkan dengan pembabitan unit khas Polis Diraja Malaysia, komando VAT 69 dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) meneruskan usaha mencari remaja berkenaan.

Nora Anne tiba di resort berkenaan dari London pada 3 Ogos lalu untuk percutian selama dua minggu.

Remaja berkeperluan khas itu didapati hilang dari biliknya pada 8 pagi hari berikutnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cuaca mendung, kabus tebal selubungi SAR Nora Anne

NILAI, 10 OGOS: Hari ini genap seminggu remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, hilang dan keazaman pasukan menyelamat untuk menemukan mangsa tidak pernah padam.

operasi mencari dan menyelamat (SAR) gadis itu terus diperhebatkan dengan kehadiran pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM), Komando VAT 69.

Pemerhatian Bernama mendapati kawasan operasi yang bermula pada 7 pagi dan berakhir 4 pagi keesokan harinya, sejak seminggu lalu, diselubungi kabus tebal awal pagi ini, ekoran dikelilingi hutan tebal, berbukit dan berdekatan dengan Gunung Berembun.

Sepanjang minggu ini, perubahan cuaca yang tidak menentu termasuk hujan pada hari kelima dan semalam menyebabkan kawasan pencarian berkabus, mendung dan agak gelap sehingga tengah hari.

Perubahan cuaca itu akan menyebabkan kawasan pencarian di dalam kawasan hutan lembab, licin dan berlumpur sekali gus akan memberi cabaran kepada anggota operasi SAR itu.

Seawal 7 pagi juga, petugas media tempatan dan antarabangsa mula berkampung bagi mengikuti perkembangan lanjut operasi SAR berkenaan.

Sementara itu, aset keselamatan yang membawa anggota operasi dilihat bergerak masuk ke kawasan kejadian seawal 7 pagi, dan ia berterusan.

Sehingga semalam, kekuatan anggota operasi berkenaan terus ditingkatkan kepada 261 anggota dan diperkuatkan dengan penglibatan pasukan Komando VAT 69 dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Selain polis, agensi keselamatan yang turut terlibat adalah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, PGA Batalion 3 unit Senoi Praaq, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Perhutanan negeri.

Remaja Ireland yang mengalami masalah pembelajaran itu dilapor hilang selepas tiba di Malaysia bersama keluarganya untuk percutian dua minggu di sebuah resort di Pantai, Seremban.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapan oleh keluarganya, pada 4 Ogos lalu.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Operasi SAR PDRM diperluas jejaki remaja hilang

NILAI, 5 OGOS: Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang, meliputi kawasan Gunung Berembun, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, ACP Wan Rukman Wan Hasan berkata, pencarian melalui udara yang dimulakan sejak pukul 5.40 petang tadi itu, turut meliputi persisiran Sungai Berembun.

“Selain pencarian di darat, kita juga menjalankan operasi pencarian dan pemerhatian dari udara. Pencarian dilakukan di kawasan Gunung Berembun dan kita tumpu juga di persisiran Sungai Berembun.

“Setakat ini belum ada sebarang petunjuk positif. Tinjauan dari udara akan disambung esok memandangkan cuaca semakin gelap dan sukar untuk membuat pemantauan,” katanya kepada Bernama selepas menyertai SAR melalui udara di sini, hari ini

Katanya, bagaimanapun operasi SAR yang diketuai Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, SAC Che Zakaria Othman itu, diteruskan di bahagian darat.

Pencarian melalui udara itu turut disertai Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Mohd Nor Marzukee Besar.

Semalam, media melaporkan remaja berkenaan disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di sini oleh keluarganya, pada 8 pagi.

Keluarga mangsa juga memaklumkan bahawa remaja perempuan itu mengalami masalah pembelajaran.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anggota hilang: SAR diperluas ke kawasan laut

KUALA LUMPUR, 28 JUL: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua anggota tentera yang hilang di Pulau Perak, Kedah, kini diperluas di sekitar kawasan laut.

Sumber berkata, sebelum ini pencarian telah dibuat di kawasan darat pulau berkenaan, tetapi tidak menemui sebarang petunjuk kehilangan mereka.

“Pencarian di kawasan darat tidak menjumpai sebarang pakaian atau kasut mereka. Selain itu, kawasan pulau berkenaan juga mempunyai tebing yang tinggi serta curam.

“Oleh yang demikian, pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengerahkan Kapal Diraja Muhammad Amin TLDM melakukan SAR di kawasan laut,” menurut sumber tentera itu ketika dihubungi Bernama.

Sumber berkata, kapal itu telah digerakkan dalam operasi SAR pada 20 Julai yang memfokuskan pencarian di sekitar kawasan pulau dan perairan berkenaan.

Ditanya sama ada operasi SAR dihentikan, sumber itu berkata sehingga kini tiada arahan menamatkan operasi SAR dan ia akan diteruskan meliputi kawasan sekitar pulau berkenaan.

Operasi SAR akan diteruskan sehingga kedua-dua anggota tentera berkenaan ditemui, katanya.

Pada 23 Julai lalu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan daripada semua sudut berhubung kehilangan dua anggota tentera darat yang sedang bertugas dalam operasi di pulau itu.

Dua anggota tentera yang hilang itu ialah Kpl David Edmund Rapi dan L/Kpl Moses Logers dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis.

Kehilangan kedua-dua anggota itu dikesan ketika Ketua Penempatan membuat pemeriksaan pada lewat malam (19 Julai) bagi mengira kekuatan anggota.

Sebelum ini, kes kehilangan anggota ATM di Pulau Perak pernah berlaku pada 3 Okt 2016 yang membabitkan Kpl Johbartlee Kanil, 32, dari Sabah dan Kpl Mohd Faizol Rosli, 29, dari Kampung Sungai Limau di Pulai, Baling, hilang selepas terjatuh ke laut ketika sedang mengambil air.

Mohd Faizol bagaimanapun ditemukan oleh anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) dalam jarak 30 meter dari Pulau Perak selepas empat hari hilang (6 Okt 2016) akibat terjatuh ke laut di Pulau Perak, dekat perairan Langkawi. Namun Johbartlee dilaporkan masih belum ditemukan sehingga kini.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis pergiat usaha SAR warga Finland

KUANTAN, 27 JAN: Polis terus mempergiatkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga Finland yang dikhuatiri hilang di Pulau Tioman, sejak Selasa dengan bantuan anjing pengesan.

Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Azli Mohd Noor berkata, operasi hari kedua bermula pada jam 8.30 pagi itu memberi tumpuan di sekitar kawasan Kampung Paya menuju ke arah Kampung Genting.

“SAR disertai 41 pegawai dan anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk tempatan dengan bantuan anjing pengesan polis dan bomba,” katanya dalam kenyataan media.

Semalam, seorang pekerja restoran, Jamsari Ismail, 47, membuat laporan polis berkenaan kehilangan Nakitin Aleksis Elis Valtteri, 20, yang dikatakan kali terakhir dilihat, pada Selasa.

Jamsari mendakwa mangsa yang dikenalinya pada petang Isnin menumpang tidur di rumahnya di Kampung Paya dan ada bertanya arah untuk ke air terjun Asah di Kampung Mukut.

Katanya, mangsa tidak kelihatan semasa dia pulang daripada kerja pada petang Selasa, namun dokumen dan barang miliknya masih berada di rumah.

Operasi SAR yang bermula pada jam 3.30 petang semalam, membsbitkan 17 pegawai dan anggota penyelamat serta dihentikan pada jam 6 petang ekoran keadaan yang semakin gelap.

*Sumber: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

MAPIM sertai usaha SAR mangsa tsunami Selat Sunda

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 DIS: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyertai usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tsunami di Selat Sunda, sejak semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Sani Araby Al-Kahery berkata, operasi berkenaan diketuai Mejar Bersekutu Zulhanis Zainol dan Kapten Bersekutu Shukri Othman untuk menyalurkan bantuan awal.

“Akibat angka korban dan cedera yang semakin meningkat, MAPIM juga menyalurkan bantuan asas berupa kotak makanan serta keperluan lain.

“Turut sama menyertai misi kali ini adalah rakan strategik MAPIM, iaitu Aksi Cepat Tanggap (ACT) Indonesia yang lengkap anggotanya,” katanya kepada SelangorKini.

Sani berkata, operasi pencarian yang bermula sejak semalam terpaksa dihentikan seketika akibat amaran tsunami gelombang kedua.

“Saya dimaklumkan ketika anggota sedang menjalankan kerja pencarian mangsa, sukarelawan menerima arahan untuk menghentikan pencarian kerana terdapat amaran air pasang yang berkemungkinan tsunami kali kedua,” katanya.

Pada masa sama, Sani berkata, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan bolehlah menyumbangkan dana kepada Akaun Maybank 558220605312 (Dana Mapim).

Sebarang maklumat lanjut, bolehlah menghubungi talian hotline 0192890298 atau e-mel kepada [email protected].

Categories
NASIONAL

Operasi SAR polis, suspek dikhuathiri lemas diteruskan

KUALA TERENGGANU, 10 NOV: Operasi mencari dan menyelamat seorang anggota polis dan seorang suspek yang dikhuatiri lemas, di Sungai Paka dekat Dungun diteruskan, pada jam 7 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah berkata, operasi turut disertai Unit Skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Kemaman.

“Operasi malam tadi terpaksa dihentikan pada jaml 3.15 pagi kerana cuaca di persekitaran sungai itu sangat gelap dan berkabus.

“Kita berharap operasi pagi ini akan berjalan lancar dan berjaya menemui anggota polis serta suspek berkenaan,” katanya kepada BERNAMA.

Dalam kejadian di kampung Durian Mentangau, Dungun malam tadi, anggota polis berkenaan, Konstabel Wan Mohd Arif Wan Yahya, 28, bersama tiga lagi rakannya sedang mengejar suspek dikenali sebagai Zam Ayam sebelum tergelincir dan terjatuh ke Sungai Paka.

Suspek itu dipercayai terbabit dalam kejadian kes samun di Kampung Limbong dekat Paka, Khamis lalu.

Categories
SELANGOR

Operasi SAR cari lelaki remaja terjatuh dalam lombong diteruskan

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong diteruskan hari ini.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Zon 5, Izman Adnan berkata operasi mengesan Mohd Ilham Fahmi Mohd Azam, 17, diteruskan pukul 8 pagi ini dengan melakukan pencarian di kawasan tebing sepanjang 40 meter di lombong berkenaan.

“Bomba mendapati arus dalam lombong masih deras pagi ini dan pasukan penyelam akan membuat penilaian dahulu sebelum membuat operasi.

Difahamkan pasukan penyelam dari Polis Marin akan melakukan SAR dan bagi pihak bomba kami belum dapat pastikan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari mana akan datang,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Ditanya sama ada teknik menyelam secara berkumpulan akan digunakan hari ini, beliau berkata pihaknya tidak dapat memastikan teknik yang akan digunakan.

“Ia bergantung kepada keadaan cuaca serta arus di dalam lombong ini,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati operasi SAR masih diteruskan anggota Bomba meskipun terkejut dengan tragedi enam anggota PPDA maut ketika menjalankan operasi mencari remaja lelaki di Taman Putra Perdana, Puchong pada 9.15 malam Rabu.

Cuaca di kawasan kejadian setakat ini cerah dan anggota keluarga mangsa kelihatan berkumpul untuk mengikuti perkembangan operasi SAR.

Bagaimanapun, pihak media tidak dibenarkan memasuki kawasan di sekitar lombong terbabit.

SUMBER: BERNAMA

Categories
AGAMA PENDIDIKAN SELANGOR

JAIS belanja RM137.6 juta baik pulih institusi pendidikan Islam

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 1 APR: Sejumlah RM137.6 juta dibelanjakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi melaksanakan pembangunan dan baik pulih institusi pendidikan Islam, Sejak 2015.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah itu bagi memperkasakan institusi pendidikan Islam dan meningkatkan aktiviti pembangunan rohani masyarakat.

“Ini termasuk pembangunan Maahad Integrasi Tahfiz Sains (MITS), Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) dan Sekolah Rendah Agama di bawah pengurusan JAIS,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pengusaha SAR Selangor, di Masjid Al-Syakirin, di sini, hari ini.

Katanya, dalam tempoh 10 tahun, RM56.2 juta turut disalurkan kepada 2,707 Sekolah Agama Rakyat (SAR) bagi tujuan menaik taraf kemudahan infrastruktur dan prasarana pendidikan.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri juga memastikan institusi pendidikan bukan Islam terus diberi perhatian.

“Sejak 2008, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan tahunan RM10 juta untuk membantu menaik taraf SAR, sekolah jenis kebangsaan cina, sekolah jenis kebangsaan tamil, sekolah menengah jenis kebangsaan dan sekolah mubaligh,” katanya.