Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SmartShorties Selangor cungkil bakat industri filem

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 APR: Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) menganjurkan pertandingan Projek Filem Pendek Smartshorties 2018 bagi mempromosikan pembangunan agenda pintar, Smart Selangor bermula 27 Mac sehingga 17 April ini.

Ketua Pegawai Esekutif MBI, YM Raja Shahreen Raja Othman berkata, penganjurannya bagi mengasah bakat pembikin filem amatur, di negeri itu.

Beliau berkata, pertandingan itu juga sebagai usaha mengenal pasti dan menyokong bakat filem baru tempatan untuk tampil mengetengahkan idea baru dalam industri perfileman negara.

“Objektif lainnya adalah mempromosikan Smart Selangor dan kami sangat menggalakkan penyertaan orang ramai supaya mesej disampaikan melalui video filem pendek itu akan mudah diingati dan difahami rakyat.

“Pertandingan ini akan melalui beberapa fasa, termasuk bengkel khas mengasah lagi bakat pembikin video amatur oleh penggiat industri yang profesional.

“Seterusnya, peserta yang terpilih akan diberi pengalaman cukup lumayan apabila video mereka akan ditayangkan pada Malam Gala ‘movie premier’, pada 5 Mei ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Smart Selangor Shorties 2018 di Shah Alam Convention Centre, semalam.

Smartshorties 2008 adalah inisiatif program yang dianjurkan MBI Selangor bersama Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

Sementara itu, orang awam boleh merebut wang tunai sehingga RM14,000 dan berpeluang mengikuti latihan pembikinan filem terkenal bersama Pengarah Urusan Creative Learning and Development, Zaki Abdul Rahim dan selebriti tempatan, Yana Samsudin.

“Tema penghasilan video pendek itu mestilah berdurasi tiga minit dan menekankan 12 domain utama Smart Selangor.

“Antaranya Smart Governance, Smart Digital Infrastructure, Smart Waste Management, Smart Transport and Mobility, Smart Safety and security dan banyak lagi,” kata Raja Shahreen.

Untuk maklumat lanjut dan penyertaan, orang ramai boleh membuat pendaftaran di http://bot.ly/SmartShorties