Categories
SELANGOR

Sukarelawan tampil hulur bantuan mangsa kebakaran

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 APR: Seramai 100 sukarelawan di Selangor tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran membabitkan tiga rumah di Taman Desa Kenanga Semenyih, baru-baru ini.

Pegawai Pasukan Sukarelawan Selangor, Muhammad Hanafi Jalalludin berkata, kejadian kebakaran itu berlaku pada 12 April lalu.

“Program bantuan ini dinamakan ‘Rise Together With New Hope’ membabitkan kerjasama antara pasukan sukarelawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih diketuai oleh saya sendiri, Ahli Majlis Zon 17, Bryan Lai dan Jawatankuasa Surau Al-Falah Taman Desa Kenanga Semenyih.

“Pada masa sama, penduduk sekitar turut tidak ketinggalan membantu mangsa kebakaran ini,” katanya dalam kenyataan.

Muhammad Hanafi berkata, demi meringankan beban mangsa kebakaran semua sukarelawan terlibat menjalankan aktiviti seperti membersihkan sisa kebakaran dan menyediakan makanan.

“Antara rumah mangsa kebakaran yang kita bersihkan adalah Tarmizi Abdul Razak dan Sivandini Paramasivam.

“Manakala, kos kerugian akibat kebakaran ini dianggarkan sejumlah RM300,000,” katanya.

=EZY=