TAIPEI 18 APR: Kementerian Pertahanan Taiwan berkata hari ini, Beijing menggunakan ‘intimidasi lisan murahan dan ancaman perang’ untuk mengugut Taiwan ketika tentera China mengadakan latihan ketenteraan hidup di Selat Taiwan, di tengah ketegangan meningkat kedua-dua negara.
Latihan diadakan di luar bandar tenggara China di Quanzhou, terletak di antara dua kumpulan pulau hampir dengan pantai China namun dikawal Taiwan sejak 1949 apabila tentera Nasionalis yang kalah lari ke Taipei selepas perang saudara China tamat.
Media tempatan China berkata, latihan ketenteraan itu adalah satu tindak balas langsung terhadap ‘provokasi’ oleh pemimpin Taiwan berkaitan apa yang dibimbangi Beijing, langkah mempercepatkan kemerdekaan rasmi negara kepulauan itu.
“Komunis China menggunakan ugutan lisan murahan dan ancaman perang dalam setiap aspek Republik China dengan harapan menjejaskan moral kami atau mewujudkan kebimbangan sosial,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan Taiwan, Chen Chung-chi.
Menggambarkan sesetengah komentar China sebagai ‘tidak masuk akal’ bahawa latihan ketenteraan kali ini lebih besar berbanding biasa, Chung-chi berkata, ia hanya membabitkan latihan tembakan jarak dekat hampir dengan pantai China, bukan di Selat Taiwan.
SUMBER: REUTERS