Categories
NASIONAL

Tuduhan BN terhadap PAKATAN berniat jahat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 17 APR: Pakatan Rakyat (PAKATAN) menentang keras dakwaan jahat Barisan Nasional (BN) yang kononnya mereka mahu menghapuskan institusi bumiputera.

Ketua Penerangan KEADILAN, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, tidak ada mana-mana bahagian dalam manifesto Pakatan yang menyebut perkara sedemikian rupa.

“Bila masa pula pembangkang ingin menutup institusi Bumiputera kerana kononnya bercanggah dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’? Ini satu dakwaan berat tidak berasas.

“Melalui Perjanjian Pakatan dimeterai pada 9 Januari 2016, Pakatan berikrar mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang antara lain melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.

“Tambahan pula, Perkara 153 (2) juga ada peruntukan supaya dirizabkan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan seumpamanya untuk orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak yang menuduh modus operandi pembangkang adalah melihat institusi berteraskan kepentingan Bumiputera dan bercanggah dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’ menemui titik noktah.

Syed Ibrahim berkata, terlalu ramai yang menangguk di air keruh dan menafikan manfaat sebenar sepatutnya sampai kepada rakyat memerlukan.

Katanya, rakyat di negara ini boleh berbangga dengan institusi tersebut namun tidak boleh berdiam diri terhadap penyelewengan besar berlaku.

“Oleh itu, sebelum prinsip mengukuhkan dan memperkasakan institusi dipegang, Pakatan akan menubuhkan suruhanjaya siasatan menyiasat terperinci penyelewengan wang rakyat melalui 1MDB, MARA, FELDA dan Tabung Haji.

“Suruhanjaya ini juga ditugaskan mencadangkan tindakan susulan sesuai serta mekanisme terperinci menyelesaikan skandalbesar tersebut,” katanya.

Syed Ibrahim berkata struktur pentadbiran setiap institusi berkenaan dikaji semula untuk memastikan wujud semak imbang yang cekap.

Katanya, rakyat dan negara berhak ditadbir jauh lebih baik daripada pemerintah sekarang. Pembelaan dana Bumiputera dan Islam perlu dijamin tanpa menindas mana-mana kaum atau agama apatah lagi mengkayakan kroni.

“Pakatan sedia bekerjasama dengan pihak mahukan perubahan negara ke arah positif, dan tidak mahu bertolak-ansur dengan pihak yang sanggup menjadi talian hayat kepada Umno dan BN untuk terus memperbodohkan rakyat atas nama bangsa dan agama.

“Mungkin benar kata Najib yang tsunami orang Melayu tidak akan berlaku dalam Pilihanraya Umum ke 14 (PRU ke-14), yang akan berlaku ialah tsunami rakyat menolak jaminan palsu Umno-BN,” katanya.

=EZY=